Monday, May 9, 2011

Saman fitnah Ketua Menteri Sarawak terhadap Malaysiakini diteruskan

PUTRAJAYA: Kes saman fitnah oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud terhadap portal berita, Malaysiakini, akan diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan permohonan kebenaran Taib untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membuang hanya satu daripada empat perenggan pernyataan pembelaan Malaysiakini.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff memerintah Abdul Taib membayar kos guaman RM10,000 kepada portal berita itu dan defendan bersama, ketua pengarang Steven Gan.

Pada 3 Jan lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian daripada rayuan Abdul Taib. Mahkamah Rayuan membatalkan salah satu daripada empat perenggan yang dipohon oleh Abdul Taib untuk dibuang daripada pernyataan pembelaan, iaitu perbuatan saman itu menyalahkan proses mahkamah.

Tiga lagi perenggan dalam pernyataan pembelaan dikekalkan iaitu berkaitan justifikasi penyiaran artikel itu, ulasan pembaca dan perkapalan Archipelago yang didakwa dikaitkan dengan keluarga ketua menteri itu.

No comments:

Post a Comment