KULAIJAYA – “Saya juga mahu makan dan jalani kehidupan macam orang lain, tetapi...,” begitulah luahan bapa kepada tiga anak, Ali Hanafi Yussof yang menderita penyakit misteri sehingga menyebabkannya tidak dapat menjamah makanan sejak 12 tahun lalu.
Sejak diserang penyakit misteri itu, Ali Hanafi, 40, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan, hanya bergantung kepada minuman serat seperti soya dan susu untuk meneruskan kehidupan dan rutin hariannya.
Menurutnya, beliau secara tiba-tiba tidak dapat menelan makanan dan merasakan seolah-olah terdapat ‘sesuatu’ yang tersekat pada kerongkong tekaknya sehingga menyebabkannya tidak dapat menjamah makanan sehingga kini.
“Penyakit ini datang secara tiba-tiba dan seingat saya kejadian pertama berlaku ketika hari perkahwinan saya dan isteri apabila saya tidak dapat menelan makanan yang dimasukkan ke mulut,” katanya.
Ali Hanafi berkata, pada mulanya beliau menyangka penyakit berkenaan disebabkan ketumbuhan pada bahagian tekaknya, namun selepas rawatan laser dijalankan masalah sama tetap berulang.
“Selepas rawatan pembuangan tiroid pada tahun 2003 dijalankan, doktor memberi jaminan saya dapat menelan makanan seperti biasa.
“Namun sehingga kini saya masih tidak dapat menelan manakan walaupun pemeriksaan telah dijalankan berulang kali dan mendapati tiada sebarang masalah pada tekak saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment