Namun, sehingga hari ini pusat tahanan itu masih beroperasi dan bagi Cuba pula ia tidak melihat janji Obama itu sebagai sesuatu yang besar kerana pangkalan tentera AS akan tetap berada di Teluk Guantanamo sekalipun Obama memenuhi janjinya.
Bagi Cuba, Guantanamo tetap merupakan wilayahnya dan menganggap pangkalan tentera di pulau itu sebagai penempatan haram AS di wilayahnya.
Ikuti temubual Duta Cuba ke Malaysia. CARLOS A. AMORES dengan wartawan Utusan Malaysia, IRMAN HASHIM dan RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM berhubung perkara tersebut.
UTUSAN: Mengapakah Cuba mempunyai pandangan sedemikian berhubung pusat tahanan itu dan pangkalan tentera AS di Guantanamo?
Carlos: Teluk Guantanamo merupakan kawasan milik Cuba, Kami menganggap penempatan tentera AS itu sebagai penempatan haram kerana kami tidak mahu mereka berada di sana lagi. Mereka sudah berada di sana lebih 100 tahun.
Bagaimanakah keadaan itu boleh berlaku?
Carlos: AS telah mengadakan satu perjanjian sewa dengan kerajaan Cuba pada 1903 untuk menempatkan tentera di Teluk Guantanamo dengan syarat-syaratnya bersifat berat sebelah. Ini termasuk jika perjanjian sewa itu mahu dibatalkan ia harus dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Cuba sebagai pemilik tanah mahu AS keluar tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana wujudnya syarat itu. Lagipun, AS juga tidak memerlukan Teluk Guantanamo lagi kerana pangkalan tentera berkenaan kini hanya digunakan sebagai pusat tahanan bagi suspek pengganas.
Bagaimana Cuba melihat kebangkitan China sebagai kuasa baru sama ada daripada segi ketenteraan mahupun ekonomi. Apakah pandangan Cuba mengenai perkembangan ini?
Carlos: Seperti yang diketahui, China adalah rakan rapat Cuba. China dilihat lebih menumpu kepada pembangunan negara itu sendiri. Namun, China kini juga muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar pada tahun lepas. Justeru, apabila memiliki kuasa ekonomi, China dilihat berperanan dalam politik dunia.
Keadaan itu sangat berfaedah kerana ia akan membantu dalam membentuk dunia pelbagai polar.
Apakah Cuba merasakan hubungan AS dan China kini boleh mengugat keamanan dunia?
Carlos: Walaupun AS sering mengkritik China dalam beberapa isu, namun pada masa yang sama, negara itu (Amerika) masih ingin mengekalkan hubungan baik dengan China. Dengan kedudukan China yang kukuh sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan, pada masa depan, AS tidak akan boleh bertindak sesuka hati di rantau ini.
Baru-baru ini Cuba menyaksikan perubahan dalam kepimpinan parti pemerintah, Parti Komunis. Adakah rakyat akan menyaksikan perbezaan berbanding pentadbiran sebelum ini?
Carlos: Kerajaan Cuba kini dalam proses melaksanakan perubahan terutama perubahan ekonomi. Perubahan yang bakal disaksikan adalah sejajar dengan garis panduan ekonomi baru yang diluluskan oleh Kongres Parti Komunis pada April lalu.
Apakah bentuk perubahan ekonomi yang ingin dilaksanakan?
Carlos: Ketika ini, kebanyakan rakyat bekerja dengan kerajaan atau anak syarikat milik kerajaan. Di bawah garis panduan berkenaan, kerajaan ingin melihat mereka bekerja sendiri dengan kerajaan menyediakan bantuan-bantuan bersesuaian. Sebanyak 200 aktiviti perniagaan telah dikenal pasti bagi menggalakkan penglibatan rakyat.
Di bawah sektor pertanian pula, kerajaan ingin membuka lebih banyak tanah untuk pertanian bagi mewujudkan lebih ramai petani. Ketika ini, kira-kira 100,000 rakyat Cuba menjadi petani.
No comments:
Post a Comment