Monday, July 25, 2011

Gigi, rusuk patah: Keluarga tetap tunggu laporan HKL


Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu.
Sedangkan, pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporanbedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Allahyarham pada malam 9 Julai lalu, kata seorang anak mangsa berkenaan, Mohd Nasrul.
"Saya tertanya-tanya, kenapa kami belum dapat lagi (laporan bedah siasat), tapi polis dah keluar kenyataan," kata Mohd Nasrul, 22, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau juga enggan memberikan komen lanjut berhubung kecederaan yang dialami mangsa berkenaan memandangkan keluarganya masih belum menerima laporan tersebut walau telah berkali-kali mendesak hospital berkenaan.
Namun, polis telahpun menafikan dakwaan bahawa pasukan berkenaan telah melakukan keganasan ke atas Allahyarham Baharudin manakala kecederaan dialami mangsa itu pula berpunca daripada rawatan yang diberikan ke atasnya.
Seorang pegawai kanan Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid pada Jumaat lalu dilaporkan sebagai berkata, tulang rusuk mangsa yang patah itu juga "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.
Gigi lelaki berusia 58 tahun itu pula "mungkin" patah disebabkan tiub yang dimasukkan ke dalam mulut lelaki berkenaan bagi tujuan "menyedarkannya semula."
Salleh turut mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia.
Ketika ditanya, anak mangsa berkenaan bagaimanapun pantas menjawab, beliau tidak akan memberikan komen selagi belum melihat laporan bedah siasat berkenaan.
"Kami pun tak dapat laporan bedah siasat, sebab kematian pun tak tahu. Jadi tunggu keputusan bedah siasat dahulu baru kami boleh komen," kata Mohd Nasrul lagi.
Tambahnya, pihak Hospital Kuala Lumpur memberitahu beliau bahawa keluarga mangsa tersebut hanya akan menerima keputusan berkenaan dalam tempoh "empat hingga enam minggu lagi."
Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis.
Gigi, rusuk patah: Keluarga tetap tunggu laporan HKL - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment