Monday, July 25, 2011

Pencari suaka berkurangan di Australia kerana Malaysia

SYDNEY - Kerajaan Australia semalam menyatakan ia mahu kumpulan pencari suaka politik yang dihantarnya ke Malaysia menerima layanan yang adil tetapi enggan mengesahkan satu laporan bahawa mereka akan diberikan hak bekerja di Malaysia.

Kerajaan Australia dijadualkan menandatangani satu perjanjian bersama Malaysia pada minggu ini dengan negara Asia Tenggara itu bersetuju untuk menerima 800 pencari suaka politik sebagai pertukaran kepada penempatan semula 4,000 pelarian asingnya.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Brendan O'Connor berkata, rundingan mengenainya kini di peringkat akhir.

Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan laporan bahawa pencari suaka politik yang dihantar ke Malaysia akan dibenarkan bekerja.

"Kami mahu mereka dilayan secara adil," katanya dalam wawancara bersama stesen televisyen tempatan, ABC.

Laporan akhbar Sun-Herald sebelum ini menyatakan perjanjian berkenaan yang belum didedahkan kandungannya, akan memberikan hak untuk bekerja di Malaysia kepada 800 pencari suaka politik terbabit.

Usul tersebut yang mencetuskan kritikan kerana Malaysia bukan penandatangan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian.

O'Connor berkata, sejak usul perjanjian itu diumumkan pada Mei lalu, bilangan pencari suaka politik yang menaiki bot untuk berhijrah ke Australia berkurangan dengan mendadak.

"Sekitar lima ratus orang telah tiba setakat ini berbanding sejumlah 1,700 orang pada jangka masa sama tahun lalu," katanya.

- AFP

Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment