PONTIAN 24 Julai - Keluarga enam nelayan tempatan yang menunggu keputusan rayuan daripada Mahkamah Agung Indonesia tetap menaruh harapan, ahli keluarga mereka yang kini ditahan di negara itu akan dibebaskan menjelang Ramadan minggu depan.
Mereka berharap pihak peguam bela dengan dibantu para pegawai Wisma Putra dapat meyakinkan mahkamah bahawa kumpulan nelayan berkenaan tidak bersalah dan tidak menceroboh perairan negara tersebut.
Noor Aisyah Jamari, isteri Reduan Aris, salah seorang nelayan tersebut berkata, ketibaan bulan Ramadan minggu depan diharap dapat membawa berita gembira kepadanya dan tiga anak mereka.
Katanya, dia berasa sebak dan sayu setiap kali menghubungi suaminya yang merayu supaya dapat dibebaskan dengan segera kerana sudah tidak tahan dengan kehidupan di dalam penjara.
"Berilah kami peluang untuk menyambut Ramadan bersamanya yang telah terpisah sejak empat bulan. Ketiga-tiga anak saya sentiasa merindui ayah mereka," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Pontian Besar di sini semalam.
Keenam-enam nelayan tempatan yang ditahan 8 Mac lalu kerana didakwa menceroboh perairan negara jiran ialah Ibrahim Mohd. Kassim, Reduan, Mohamad Zamri Hamzah, 26, Zainuddin Hamzah, 53, Rosli Abd. Rashid dan Jamil Mat Top, 53. Turut ditahan ialah Subani Samsudin, 40, warganegara Indonesia yang bekerja di dalam bot tersebut.
Pada 5 Mei lalu, mahkamah di Bengkalis menjatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan, denda RM350,000 atau tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut. Kes tersebut kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi di Pekan Baru, namun pihak mahkamah telah menolak rayuan yang dikemukakan oleh nelayan pada Jun lalu.
Noor Aisyah memberitahu, dia dimaklumkan oleh suaminya, kes rayuan tersebut mula didengar minggu lalu dan mereka diwakili oleh peguam yang dilantik oleh kerajaan Malaysia.
"Rayuan ke Mahkamah Agung itu merupakan peluang terakhir suami dan rakan-rakannya sama ada dapat dibebaskan atau tidak," katanya.
Dia memberitahu, akibat terlalu memikirkan masalah yang dihadapi, dia mengalami serangan jantung baru-baru ini dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak melakukan kerja-kerja berat.
No comments:
Post a Comment