INSIDEN LETUPAN BOM DAN TEMBAKAN DI NORWAY
Sukar dapatkan bot dan tiada helikopter boleh segera digunakan
OSLO: Polis hanya tiba selang 90 minit selepas insiden tembakan di Pulau Utoeya kerana lambat mendapatkan helikopter dan bot yang boleh ke pulau itu.
Akibatnya, 86 orang sudah ditembak mati.Penyerang berusia 32 tahun, Anders Behring Breivik, menyerah diri apabila polis tiba ke pulau itu.Menurut Ketua Polis, Encik Sveinung Sponheim, pasukannya dikerahkan ke pulau itu lebih 50 minit selepas tembakan pertama dilaporkan kedengaran di pulau itu.Perjalanan ke tasik bertentangan dengan pulau itu mengambil masa sekitar 20 minit.Setibanya di situ, pasukan polis mengambil masa lagi 20 minit untuk mencari bot ke pulau tersebut.Menurut beliau, pihak polis tidak mempunyai helikopter yang boleh segara digunakan untuk ke pulau itu.'Terdapat masalah pengangkutan untuk ke Utoeya. Kami juga sukar mendapatkan bot,' kata Encik Sponheim.Sementara itu, para peserta perkhemahan belia anjuran parti pemerintah, Parti Buruh, di pulau itu, berkata Breivik kelihatan tenang semasa melepaskan tembakan.Cik Helen Andreassen, 21 tahun, berkata beliau segera terjun dan berenang di tasik untuk melarikan diri daripada Breivik.'Dia berdiri di tepi tasik, dengan menggunakan senapang, dia dengan tenang mencari sasaran dan melepaskan tembakan,' ujar beliau.Selama lebih sejam, Breivik turut memasuki kawasan hutan untuk mencari mangsanya.'Saya dengar orang menjerit. Saya dengar orang merayu usah bunuh mereka. Saya dengar tembakan. Saya yakin saya juga akan mati. Para peserta lari lintang-pukang. Mereka panik dan panjat pokok. Ada juga yang kena pijak,' kata seorang anggota belia Parti Buruh, Encik Erik Kursetgjerde, 18 tahun.Memandangkan Breivik menyamar sebagai pegawai polis, dia dengan tenang telah memujuk beberapa mangsanya agar keluar daripada tempat persembunyian dan meyakinkan mereka bahawa dia datang untuk menyelamatkan mereka.Apabila mangsanya keluar, Breivik menembak mereka satu persatu.'Dia kelihatan seronok. Dia berjalan di sekeliling pulau seolah-olah dia yang berkuasa,' kata seorang lagi belia yang selamat, Magnus Stenseth.Sebahagian besar daripada lebih 500 peserta perkhemahan yang dianjurkan oleh sayap beliau Parti Buruh itu merupakan anak-anak pendatang dari Afrika dan Asia yang mahu melibatkan diri dalam masyarakat Norway.Seorang lagi peserta yang selamat, Miriam Einangs, 17 tahun, berkata:'Saya dengar cerita ada orang yang berenang merentasi tasik, orang bersembunyi di belakang batu dan hampir ditembak. Ada banyak lagi cerita ngeri yang kami dengar.' - Agen
No comments:
Post a Comment