Thursday, July 14, 2011

Polis bertindak 'rambang, sembarangan dan melampau'

KUALA LUMPUR: Polis telah bertindak secara 'rambang, sembarangan dan melampau' dengan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata dalam jarak yang dekat terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, kata laporan pemerhatian Majlis Peguam.

Laporan itu menyatakan bahawa polis melepaskan gas pemedih mata dengan tujuan mahu menyebabkan kecederaan.

Sabtu lalu, Majlis Peguam telah meletakkan anggotanya di beberapa lokasi untuk memantau perhimpunan itu.

Presiden Majlis Peguam, Encik Lim Chee Wee, berkata pihaknya akan membentangkan hasil laporan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pada pertemuan yang dijangka diadakan minggu ini.

'Ada beberapa pegawai yang menyatakan polis telah memberi amaran sebelum menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

'Bagaimanapun, ia begitu sukar untuk kumpulan yang besar mendengar apa yang dikatakan,' katanya semasa menyampaikan kesimpulan laporan perhimpunan itu kelmarin.

Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa anggota pembangkang sengaja merancang 'drama' bagi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim cedera semasa menyertai demonstrasi itu.

Satu rakaman video di blog ruangbicarafaisal.blogspot.com mendedahkan bagaimana Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Tian Chua, mengetuai puluhan lelaki cuba menyerang Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sewaktu berhimpun bersama dengan Datuk Seri Anwar di KL Sentral.

Video tersebut jelas memaparkan Encik Tian Chua serta puluhan lelaki melaungkan perkataan 'serang' kemudian membuat kiraan satu sampai tiga sebelum meluru ke arah FRU.

Keadaan itu memaksa anggota FRU yang berada kira-kira 10 meter dari Encik Tian Chua dan kumpulan perusuh melepaskan gas pemedih mata dengan salah satu daripada kelongsong peluru dipercayai terkena muka pengawal peribadi Datuk Seri Anwar.

'Sudah tiga hari mereka mendendangkan isu polis ganas. Sekarang anda saksikan dan nilai sendiri sama ada wajar atau tidak tindakan polis kerana provokasi Tian Chua. Gerombolan inilah yang menyebabkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

'Gas tersebut juga terkena kepada Anwar yang ketika itu berada di lokasi yang sama, sehingga menyebabkan beliau terpaksa mendapat rawatan di hospital,' kata blog berkenaan.

Dalam satu wawancara dengan Associated Press Television News Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar dipetik sebagai berkata:

'Kami diserang dari kedua penjuru tetapi apa yang menakutkan ialah pegawai polis melepaskan gas pemedih mata tetap ke arah penunjuk perasaan, ada yang disasarkan ke arah saya...' - Agensi berita.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment