Thursday, July 14, 2011

Pekerja wanita mangsa ragut



KAJANG – Pekerja pasar raya terutama wanita yang berjalan kaki bersendirian pulang ke rumah selepas tamat bekerja dipercayai menjadi sasaran utama peragut yang biasanya bergerak menggunakan motosikal dan berjalan kaki.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, hasil maklumat dan maklum balas diterima, kebanyakan peragut menyasarkan mangsa yang berjalan bersendirian.

“Peragut akan mengambil kesempatan dari kelalaian mangsanya iaitu berjalan seorang diri di kawasan gelap mahupun kurang berwaspada kepada individu yang mengekori dalam perjalanan pulang,” katanya selepas turut serta menyertai Program Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang di Pasar Raya Carrefour Bandar Tun Hussien Onn, Kajang baru-baru ini.

Katanya, selain itu terdapat juga beberapa kes membabitkan kes pecah kenderaan yang diletakkan di kawasan pasar raya disebabkan kelalaian pemilik kenderaan itu sendiri.

Abd Rashid berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi pemantauan di kawasan-kawasan berlakunya jenayah di sekitar pasar raya bagi memastikan ia dapat dibendung.

“Usaha ini perlulah dilakukan bersama masyarakat setempat dan pemimpin komuniti dalam usaha menyalurkan maklumat terhadap sebarang kemungkinan jenayah yang berlaku.

“Masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment