Thursday, July 14, 2011

Rumah Putih: Assad semakin hilang kewibawaan

PBB bidas serangan ke atas kedutaan Amerika dan Perancis di Damsyik
KAHIRAH: Syria menghadapi kritikan antarabangsa memalukan sedang Rumah Putih berkata Presiden Bashar Al-Assad semakin 'kehilangan kewibawaan yang sah' dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara sebulat suara mengecam serangan-serangan ke atas kedutaan Amerika Syarikat dan Perancis di Damsyik.

Ia merupakan tekanan yang semakin meningkat kepada Encik Assad dan petanda bahawa pentadbiran Presiden Barack Obama mungkin semakin hampir kepada menggesa ke arah pertukaran rejim di Syria menyusuli tindakan keras pihak berkuasanya ke atas pemberontakan yang tercetus sejak empat bulan lalu.

Sebelum itu, pendirian Amerika terhadap Encik Assad ialah bahawa beliau harus memimpin satu peralihan ke arah demokrasi atau letak jawatan.

'Presiden Assad bukan tiada penggantinya,' kata jurucakap Rumah Putih, Encik Jay Carney, kepada para wartawan di Washington semalam.

'Kami telah menggesa beliau supaya memimpin negaranya ke arah peralihan ini. Beliau dengan jelas belum (berbuat demikian), dan beliau kehilangan kewibawaan yang sah untuk memimpin ke arah peralihan itu,' tambahnya.

Encik Obama pula memberitahu stesen televisyen CBS bahawa Encik Assad telah 'kehilangan peluang demi peluang untuk menunjukkan satu agenda pembaharuan yang tulen'.

'Secara keseluruhannya, saya fikir anda melihat Presiden Assad semakin kehilangan kewibawaan yang sah di mata rakyatnya,' tambah beliau.

Kementerian Luar Syria mengecam ulasan Amerika itu dan menyifatkannya sebagai 'provokatif'.

'Syria menekankan bahawa kesahihan kepimpinan politiknya telah didasarkan bukan pada pendirian Amerika Syarikat atau (negara) lain; ia secara eksklusif datang daripada keinginan rakyat Syria,' kata Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataannya.

Encik Assad telah cuba menghapuskan bantahan terhadap pemerintahannya, yang sebahagiannya aman, dengan menggunakan tindakan keras pihak tenteranya dan janji-janji pembaharuan.

Namun, pemberontakan itu semakin mengingkari pemerintah Syria.

Lantaran marah terhadap tindakan keras pihak pemerintah yang dikatakan oleh pihak aktivis telah membunuh sekitar 1,600 orang, gerakan pembantah tersebut kini menggesa agar rejim Encik Assad digulingkan.

Sedang pemimpin Syria itu ada kalanya tersentak dengan permintaan-permintaan tersebut, beliau masih mempunyai sokongan daripada pihak tentera serta golongan elit perniagaan dan pertengahan, yang meraih manfaat daripada dasar-dasar ekonominya. -- AP, AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment