Thursday, July 14, 2011

Ladang Gadong penuh semak masih dikawal polis


AKHTAR Tahir (berkopiah putih) bersama pendakwa raya dan peguam bela melawat ladang lokasi di mana tempat Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dibunuh di Tanjung Sepat, Banting, semalam.


BANTING 13 Julai - Kawasan ladang milik bekas peguam N. Pathmanabhan yang dikatakan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya dipenuhi semak samun setinggi satu meter.
Rumput-rumput juga tumbuh menjalar di sekitar kawasan ladang itu sehingga menyukarkan pergerakan dan setiap langkah yang diambil perlu dibuat secara berhati-hati.
Bahagian hadapan Ladang Gadong pula dipenuhi lecak dipercayai berpunca daripada limpahan air yang bertakung di ladang kelapa sawit terletak bertentangan dengan tempat itu sehingga menyamai paras laluan masuk lokasi.
Itu merupakan keadaan terkini ladang terbabit sejak ia ditutup pada 12 September tahun lalu malah mulai tarikh tersebut sehingga kini, lokasi berkenaan masih lagi dikawal oleh pihak polis.
Difahamkan, antara dua hingga tiga anggota polis berkawal di kawasan terbabit secara syif untuk tempoh 24 jam dan akan terus berkawal di situ sehingga perbicaraan kes pembunuhan tersebut selesai.
Keadaan tidak terurus itu dilihat sendiri oleh semua petugas media elektronik dan cetak ketika menyertai rombongan mahkamah dan pihak-pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes bunuh itu.
Selain puluhan pokok pisang dan lain-lain tanaman, ladang itu sebelum ini menempatkan empat ekor burung merak, tiga ekor burung gembala kerbau, tiga ekor tekukur dan seekor murai kampung yang kemudiannya diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.
Ladang itu turut menempatkan kira-kira sembilan ekor anjing pelbagai baka antaranya Rottweiler dan Bulldog namun telah disuntik pelalian dos tinggi sehingga mati oleh bahagian penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) selepas haiwan-haiwan terbabit dipercayai bertukar agresif dengan menyerang binatang peliharaan lain akibat kelaparan.
Selain pihak pendakwaan, barisan peguam bela, pegawai penyiasat dan hampir 20 anggota polis, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir serta seorang jurubahasa mahkamah turut serta dalam rombongan terbabit yang mengambil masa kurang dari sejam itu.
Rombongan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak-pihak yang terlibat mendapat gambaran sebenar kesemua lokasi selepas saksi pendakwa ke-26, Ketua Seksyen Makmal Forensik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Supritendan Azari Abdul Rahman dalam keterangannya hari ini merujuk kepada peta rajah kasar tempat-tempat berkaitan dengan kejadian itu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh tidak dibawa ke lima-lima lokasi kerana kehadiran mereka tidak diperlukan pada peringkat ini, jelas peguam bela, Manjeet Singh Dhillon di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum prosiding ditangguhkan.
Lima lokasi yang dilawati pada rombongan hari ini ialah kunci air di Jalan Tali Air iaitu tempat telefon bimbit Blackberry warna hitam dan putih ditemui; Jalan Gelanggang Buaya (zink), Jambatan Sungai Endah, dan Kanchong Laut (jam tangan Seiko Honda Racing Team, jam tangan Bell & Ross dan gelang emas).
Turut dikunjungi adalah Sungai Panchau (pisau dan serpihan-serpihan dipercayai tulang dan gigi serta dawai) dan ladang terbabit yang didakwa sebagai lokasi pembunuhan kesemua mangsa.
Terdahulu, pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Azari memberitahu, dia telah mengetuai pasukan penyelam dan forensik di seluruh lokasi terbabit dan telah mengeluarkan arahan agar peta rajah kasar dan ukuran tempat kejadian dibuat.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment