Thursday, July 14, 2011

Bela diri atau bebas?

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Ogos depan untuk membuat keputusan sama ada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo perlu membela diri atau dibebaskan berhubung tuduhan melakukan rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan yang masing-masing diketuai Abdul Wahab Mohamad dan M Athimulan selesai mengemukakan hujahan masing-masing pada akhir kes pendakwaan semalam.


Abdul Wahab dalam hujahannya memberitahu mahkamah saksi utama dalam kes itu, Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni adalah seorang saksi yang boleh dipercayai. Beliau menyangkal kenyataan peguam bela yang mewakili Dr Mohamad Khir, Athimulan, bahawa keterangan Shamsuddin di mahkamah tidak boleh dipercayai sebab beliau (Shamsuddin) sendiri pernah memberitahu mahkamah sebelum ini beliau ada memberikan kenyataan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu. “Pihak pendakwaan berpendapat mahkamah hanya boleh menilai keterangan yang dikemukakan Shamsuddin di mahkamah dan tiada asas untuk mengambil kira percakapan bertulisnya kepada SPRM kerana ia bukanlah sebahagian dari keterangan pendakwaan ataupun pembelaan,” katanya.

Ketika perbicaraan kes pada 16 Jun lalu, Shamsuddin selaku saksi pendakwaan kedua memberitahu mahkamah beliau memberi tiga kenyataan bercanggah dalam dua rakaman percakapannya kepada SPRM berhubung kes itu pada 2009 dan 7 Jun lalu atas desakan Dr Mohamad Khir.


Shamsuddin berkata, desakan itu berlaku selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, dan “saya menerima banyak desakan daripada Mohamad Khir untuk tidak membabitkan diri beliau.” Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.


Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.


Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 pada 29 Mei 2007.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata isu kebolehpercayaan keterangan Shamsuddin di mahkamah tidak timbul kerana beliau sendiri mengesahkan apa yang disebut dalam mahkamah adalah perkara sebenarnya. - Bernama

myMetro | Bela diri atau bebas?

No comments:

Post a Comment