DHAKA 3 Julai - Sebahagian besar ibu negara Bangladesh hari ini lumpuh apabila penduduknya melancarkan protes membantah pelaksanaan perjanjian cari gali minyak kerajaan dengan firma tenaga Amerika Syarikat (AS).
Kebanyakan kedai, perniagaan dan sekolah ditutup manakala jalan-jalan serta lebuh raya dikosongkan ketika mogok selama enam jam yang dianjurkan sebuah kumpulan berhaluan kiri, Persatuan Perlindungan Minyak, Gas dan Pelabuhan Kebangsaan.
Agensi berita Sheershanewsmelaporkan, pasukan polis terpaksa menggunakan belantan bagi mengawal kumpulan penunjuk perasaan di kampus universiti di tengah Dhaka selepas mereka merosakkan kereta dan berarak.
Sementara itu, tujuh penunjuk perasaan dihukum penjara dua bulan oleh majistret malam tadi selepas membakar dua bas ketika melancarkan protes.
Sehubungan itu, lebih 8,000 anggota polis dan tentera dari Pasukan Tindakan Pantas ditempatkan di jalan-jalan serta kawasan utama sebagai usaha untuk membendung keganasan.
"Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang laporan berlakunya keganasan kecuali di Universiti Dhaka," kata jurucakap polis, Masud Ahmed sambil menambah pemimpin persatuan tersebut ditahan polis namun dibebaskan sejam kemudian.
Persatuan tersebut menuntut kerajaan membatalkan perjanjian cari gali minyak dengan firma tenaga gergasi AS, ConocoPhillips kerana menganggap tindakan itu sebagai mencuri.
Katanya, perjanjian tersebut membenarkan firma AS itu mengeksport 80 peratus minyak yang ditemui di negara ini ketika Bangladesh berhadapan krisis kekurangan sumber tenaga yang teruk.
Firma tenaga kerajaan, Petrobangla menandatangani perjanjian membenarkan ConocoPhillips menerokai dua blok kawasan minyak yang terletak di kawasan perairan Teluk Bengal pada bulan lepas. - AFP
No comments:
Post a Comment