Monday, July 4, 2011

Markas Pas Jasin diserbu



AYER KEROH - Seramai 17 ahli Pas termasuk seorang pemimpin ditahan polis dalam serbuan semasa perhimpunan di Markas Pas Jasin, Simpang Kemondor, Jasin, dekat sini, petang semalam.

Mereka ditahan berikutan tindakan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Bersih, 9 Julai ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka ditangkap kira-kira 1.15 petang selepas bertindak mengedar risalah mempromosi perhimpunan haram itu, selain terdapat kemeja T kuning tertera logo Bersih.

“Serbuan dan tangkapan dilakukan kerana dua sebab iaitu berkaitan tindakan mengajak orang ramai untuk menghadiri perhimpunan itu nanti.

“Semasa serbuan polis turut menemui sebanyak 113 kameja T tertera logo Bersih serta tulisan tertera tuntutan pertubuhan haram itu di bahagian belakang, selain sebanyak 303 risalah mempelawa ahli untuk hadir bersama-sama ke perhimpunan itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Ghee Lye, polis akan melakukan siasatan segera untuk diambil keterangan dan sekiranya tiada halangan, akan dibebaskan selepas siasatan selesai.

“Penangkapan ini selaras dengan tindakan diambil polis seluruh negara bagi menghalang perhimpunan haram berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sehingga pukul 7.30 malam semalam, kesemua mereka masih lagi ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Sejumlah penyokong parti, termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Hairiz Nordin turut kelihatan menunggu di hadapan Balai Polis Jasin bagi mengetahui nasib mereka yang ditahan.

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak dibenarkan masuk ke pekarangan balai.

Difahamkan, kesemua mereka ditahan akan didakwa di bawah Akta Persatuan dan berkemungkinan akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini.
SH

No comments:

Post a Comment