Monday, July 4, 2011

Pembangkang Libya tukar haluan terhadap pelan rundingan damai

MALABO (Equatoriak Guinea): Para pemimpin pembangkang Libya kini menukar haluan terhadap satu rancangan rundingan damai. Ini selepas negara-negara anggota Kesatuan Afrika (AU) berkata mereka tidak akan menghormati satu waran antarabangsa untuk menangkap pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi.

Dalam satu wawancara dengan stesen berita Al Jazeera, Encik Abdel Hafiz Ghoga, naib presiden Majlis Peralihan Kebangsaaan Libya (LNTC), berkata majlis tersebut memutuskan menolak rancangan itu.

'Ia tidak memasukkan pelucutan Gaddafi daripada berkuasa,' kata Encik Ghoga dalam wawancara itu, yang disiarkan dalam rangkaian televisyen itu awal semalam.

Encik Ghoga menolak laporan-laporan bahawa rancangan itu pada awalnya dialu-alukan oleh majlis berkenaan.

Semasa pertemuannya di Equatorial Guinea, AU menggesa negara-negara anggotanya agar tidak menhiraukan satu waran bagi penangkapan Encik Gaddafi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), lapor agensi berita The Associated Press (AP) kelmarin.

Pemerintah Libya mengalu-alukan tawaran AU untuk berunding bagi menamatkan konflik itu, lapor Al Jazeera sambil memetik jurucakap pemerintah Libya, Encik Moussa Ibrahim, semalam.

Tidak ada rancangan bagi Encik Gaddafi meninggalkan negaranya, kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, meminta Encik Gaddafi melaksanakan demokrasi, bukannya ancaman. Permintaan ini dibuat selepas pemimpin Libya itu memberi amaran akan menyerang Eropah kecuali Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menghentikan serangan udaranya.

'Daripada mengeluarkan ancaman itu, Gaddafi seharusnya meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyatnya terlebih dahulu. Beliau harus meletak jawatan dan membantu memudahkan satu peralihan ke arah demokrasi,' kata Cik Clinton kelmarin semasa melawat Sepanyol dalam rangka lawatannya ke Eropah. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment