Monday, July 4, 2011

Tidak akan biarkan negara rosak - Ismail Omar



ISMAIL Omar (duduk) melihat sejenis senjata api yang dipamerkan semasa menghadiri majlis "Jom Cegah Jenayah" di Butterworth, semalam. Turut menghadiri majlis itu, Tajri Alwi dan Ayub Yaacob.


BUTTERWORTH 3 Julai - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar hari ini berikrar tidak akan sesekali membiarkan mana-mana anasir pihak ketiga memporak-perandakan keamanan negara melalui penganjuran perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) yang dirancang 9 Julai ini.

Ismail menegaskan, sebagai ketua sebuah jabatan yang diamanahkan menjaga keselamatan negara, beliau akan menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk memastikan keamanan yang dinikmati rakyat negara ini terus terpelihara.

Ia adalah kenyataan paling tegas daripada Ismail setakat ini selepas dilihat lebih berdiplomasi termasuk mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan itu baru-baru ini.

"Saya sudah nyatakan, kalau diteruskan juga, (perhimpunan) akan merosakkan ketenteraman (maka) pihak ketiga campur tangan. Mereka eksploitasi perhimpunan ini dan menyebabkan huru-hara, sebelum itu berlaku saya kena bertindak untuk mencegah.

"Itu sebabnya kita buat tangkapan awal kerana kalau nasi sudah menjadi bubur dan huru-hara sudah berlaku, maka sudah tiada gunanya lagi. Kita tidak mahu ada harta benda yang rosak malah mungkin melibatkan nyawa, kita tidak mahu semua ini berlaku.

"Di atas jawatan sebagai KPN saya bertanggungjawab menjaga keamanan yang kita kecapi ini dan akan gunakan segala peruntukan undang-undang untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan; Panglima 6 Briged Tentera Darat, Brigedier Jeneral Datuk Tajri Alwi; Timbalan Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub.

Ismail seterusnya mengingatkan setiap lapisan rakyat supaya tidak mencipta sebarang ruang yang boleh dimanipulasi pihak ketiga untuk menggugat keselamatan negara kerana hanya akan merugikan rakyat.

Ditanya mengenai gesaan pihak pembangkang yang mahu rundingan berhubung perhimpunan itu dibuka semula, Ismail berkata, pendirian pihaknya jelas bahawa perhimpunan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya mendatangkan risiko buruk.

"Peluang apa lagi? Saya dah kata berulang kali jangan kita bermain dengan risiko. Banyak cara untuk kita mendapat dan memberi pandangan, bukan cara berhimpun dan mencabar undang-undang," tegasnya.

Menjawab mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada penganjur demonstrasi menentang kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini, Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan satu unit khas ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

"Kita akan bertindak mengikut undang-undang dan sampai masanya kita akan ambil tindakan sewajarnya. Tuduh menuduh ini tidak baik, kita kena duduk bersama-sama jaga keamanan. Jangan kita panas keadaan sehingga orang bergaduh," jelasnya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment