Maki hamun pula sering mengiringi penderaan ini.
Namun belum pernah Encik Karim (bukan nama sebenar) membuat aduan polis.
Sebabnya yang memukulnya bukanlah seorang lelaki, sebaliknya Encik Karim mendakwa beliau menjadi 'mangsa' penderaan oleh isterinya sendiri.
Ternyata tiap insan ada had kesabarannya.
Akhirnya selepas lebih dua tahun merana, jurutera berusia 30an tahun yang kini berpangkalan di Timur Tengah itu mengambil keputusan untuk melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya itu.">
Menceritakan kisah pahitnya itu, kakak Encik Karim, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Kamisah, 54 tahun, berkata masalah adiknya itu bermula hanya selepas mendirikan rumahtangga.
'Kalau diingatkan, sudah ada tanda-tanda bahawa bekas isteri adik saya itu berani mendera suami.
'Adik saya pernah ceritakan yang beliau telah didera secara lisan semasa mula-mula keluar 'berdating'.
'Tapi beliau beri alasan bahawa masalah itu disebabkan salah faham dan mereka kemudian berbaik semula,' jelas suri rumah dan ibu tiga anak itu lagi.
Malangnya penderaan tersebut tidak berakhir di situ.
Menurut Cik Kamisah, kurang setahun adiknya bernikah, beliau perasan beberapa kali bahagian muka adiknya bengkak.
Menyangkakan adiknya itu terhantuk, beliau tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah beberapa kali perkara yang sama berlaku.
'Saya perasan setiap kali mukanya bengkak, beliau pulang ke rumah saya padahal pasangan itu ada rumah sendiri.
'Bila saya tanya adik saya dengan siapa beliau gaduh, beliau tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri sahaja.
'Selepas beliau tidak pulang ke rumahnya selama beberapa hari, saya syak beliau bertengkar dengan isterinya,' jelasnya lagi.
Adik lelakinya itu akhirnya menceritakan kisah sebenar yang dialaminya sejak berkahwin dan bekerja dengan isterinya itu - seorang peniaga setempat.
'Adik saya ceritakan sejak berumah tangga, beliau dijadikan seperti budak suruhan dan bahan asakan.
'Beliau jadi pembantu di pejabat, pengirim surat dan barangan lain serta membantu mengangkut perkakas dan keperluan perniagaan isterinya.
'Setiap hari beliau hanya diberi wang yang cukup untuk membeli sebungkus nasi, sebotol air minuman dan sekotak rokok.
'Dan gaji bulanannya kurang $200. Wang lainnya disimpan dalam akaun bank si isteri,' jelasnya.
Perkahwinan adiknya, yang menghasilkan seorang anak perempuan, berakhir apabila si isteri mula 'menyerang' rumah Cik Kamisah sekitar empat tahun lalu.
Menurut Cik Kamisah, adik iparnya memekik lalu menyuruh suaminya segera pulang.
'Saya terpaksa jadi orang tengah, tapi saya pula dimaki adik ipar saya itu sendiri.
'Pada masa yang sama, saya saksikan adik saya dibantai isterinya.
'Tapi hairannya adik saya langsung diamkan diri sahaja dan hanya melindungi diri dengan kededua belah tangan,' cerita Cik Kamisah sedih.
Beliau berkata adiknya itu hanya mula memberanikan diri selepas mendapatkan nasihat daripada kenalan rapatnya.
'Kerana tidak tahan, beliau akhirnya menceraikan isterinya itu,' ujarnya lagi.
Kini Encik Karim dan bekas isterinya itu masing-masing sudah mendirikan rumah tangga baru.
Cyberita Online Istimewa
No comments:
Post a Comment