Monday, July 4, 2011

14 ahli PKR ditahan menghasut



ALOR SETAR - Polis Kedah menahan 14 ahli PKR ketika cuba mengadakan sidang media dipercayai ada kaitan dengan isu perhimpunan Bersih 2.0 berdekatan Pasar Koboi, Jalan Telok Wanjah, semalam.

Kesemua yang ditahan didakwa bersubahat untuk menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Bersih di ibu negara 9 Julai ini.

Antara yang ditahan ialah Timbalan Ketua Wanita PKR Kedah, Suraya Hashim; Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR negeri, Gooi Hsiao Leung dan Ketua PKR Cabang Kulim Bandar Baharu, Saari Fadzil Hud, K Naidu, Asmalela Mohd Ghazali, Lee Kim Hock dan Leslie Daniel.

Mereka ditahan sekitar 9.30 pagi ketika cuba mengadakan sidang media untuk membantah tindakan polis menahan aktivis Bersih, selain dipercayai mengadakan kempen Bersih dengan menjual baju kuning logo Bersih.

Sebaik Hsiao Leung mengedarkan kenyataan akhbar kepada media, belum sempat dia berucap, polis terus menghampiri dan berlaku adegan tolak-menolak, hingga menyebabkan suasana tegang.

Kehadiran hampri 200 anggota polis berjaya mengawal keadaan, dan sejurus selepas itu, kelihatan beberapa pemimpin PKR dibawa menaiki trak dan van polis dibawa ke Pusat Latihan PDRM Mentaloon, Anak Bukit untuk diambil keterangan.

Ketika ditahan, Hsiao Leung yang sepatutnya membuat sidang media menjerit, “saya ditangkap atas dakwaan apa”, namun tidak dihiraukan pasukan polis, diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana didakwa bersubahat untuk mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

“Ingin saya ingatkan mana-mana pihak supaya tidak menyertai perhimpunan itu atau mana-mana majlis berkaitan Bersih kerana tidak mempunyai permit. Kita juga memantau semua ceramah di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan tidak teragak-agak menangkap sesiapa yang berani melanggar undang-undang.

“Polis menahan tiga perempuan dan sebelas lelaki yang akan didakwa kerana bersubahat adakan perhimpunan haram. Sesiapa yang cuba edar baju atau kempen Bersih juga akan ditangkap, ini amaran terakhir dan diharap pihak terbabit ikut peraturan,” katanya.

Ahmad berkata, dalam kekecohan itu, pihak polis turut merampas beberapa risalah kempen Bersih dan kain rentang.

“Ini adalah tangkapan pertama di Kedah, dan pemantauan dibuat secara berterusan untuk mengelak kejadian berulang,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment