Monday, July 4, 2011

Polis serbu premis cetak logo 'Bersih'

BATU PAHAT: Polis kelmarin menyerbu sebuah premis kediaman di sini yang dipercayai dijadikan markas mencetak logo 'Bersih' pada kemeja-T bagi digunakan pada perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Sabtu ini.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, polis menahan seorang pencetak sambilan dan menemui 252 helai kemeja-T berwarna kuning yang tertera logo Bersih, peralatan blok mencetak dan risalah berkaitan tuntutan perhimpunan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Din Ahmad, berkata polis yang menerima maklumat tentang kegiatan itu menyerbu premis tersebut di Taman Bukit Flora, sejurus menerima waran geledah daripada Majistret Batu Pahat, kelmarin.

Menurutnya, suspek yang berusia 45 tahun itu ditahan kerana disyaki bergiat secara langsung dalam proses pencetakan baju perhimpunan haram itu.

'Ketika diserbu, suspek berada dalam premis tersebut dan polis turut menemui sejumlah kemeja-T berwarna kuning tertera logo Bersih dan tuntutan perhimpunan terbabit selain beberapa tong pewarna yang digunakan bagi tujuan itu.

'Kami percaya kemeja-T itu bakal digunakan bagi perhimpunan yang didakwa akan dilakukan di sekitar daerah ini dan juga bagi perhimpunan luar termasuk di ibu negara, namun kes masih dalam siasatan,' katanya di sini, kelmarin.

ACP berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Batu Pahat dan menjadikan perkhidmatan pencetakan baju itu sebagai sumber mata pencarian sambilan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan jika disabitkan kesalahan, suspek bakal berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun. -- Utusan Malaysia.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment