Monday, July 4, 2011

Usah bawa kemusnahan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara perlu memastikan juga tuntutan demokrasi tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

“Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai bertujuan menyerahkan memorandum kepada beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi dan jabatan yang terbabit,” dalam Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Bersih, pada 9 Julai ini.


Tuanku Mizan bertitah, baginda yakin kepemimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

“Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.


“Beta juga menyeru kepada kerajaan supaya melaksanakan semua amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun,” titah Tuanku Mizan.


Baginda bertitah, setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu ‘Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran’.

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.


“Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” tidak baginda.

Oleh itu, Tuanku Mizan bertitah, itulah pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur yang begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. - Bernama

myMetro | Usah bawa kemusnahan

No comments:

Post a Comment