Friday, August 26, 2011

Tidak mengaku tikam polis



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh kapal tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis dalam kejadian 14 Ogos lalu.

Tertuduh, Syed Hussin Syed Hassan, 31, dari Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu tidak mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 14 Ogos lalu kira-kira jam 7.45 malam bertempat di belakang rumah tertuduh iaitu beralamat di Kampung Jeram Manir, Kuala Terengganu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Saiful Bahari Yaacob, 22, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu merah, panjang dari mata ke hulu lebih kurang 18.2 sentimeter.

Dengan itu jika didapati bersalah tertuduh boleh di penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan Konstabel Mohd Saiful Bahari Yaacob, 22, cedera rusuk sebelah kanan akibat ditikam dengan sebilah pisau ketika menangkap seorang lelaki dalam serbuan Ops Rentap/Tapis di Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu.

Anggota polis berkenaan, Konstabel Mohd Saiful Bahari Yaacob, 22, berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengalami pendarahan di bahagian rusuk sebelah kanan serta kesan kelar di bahagian lengan kanan dipercayai terkena tikaman ketika bergelut untuk menangkap suspek itu dalam kejadian kira-kira jam 7.45 petang.

No comments:

Post a Comment