Friday, August 26, 2011

Tersepit di tempat duduk



KIJAL – Seorang ahli perniagaan berpangkat datuk yang terkenal di daerah Dungun maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 134 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pasar Raya Besar Giant Kijal, di sini, pagi semalam.

Datuk Abu Bakar Kamar @ Kamal, 61, berasal dari Jalan Besar, Dungun meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala selain turut tersepit di tempat duduk pemandu apabila pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang dipandunya bergesel dengan Proton Wira sebelum bertembung dengan kereta Porshe.



Kenderaan berpusing beberapa kali


Akibat pertembungan itu, pacuan empat roda yang dipandu mangsa berpusing beberapa kali begitu juga Porsche dinaiki tiga lelaki yang salah seorang daripadanya pengurus sebuah syarikat di daerah ini turut berpusing beberapa kali sebelum terperosok ke dalam semak di bahu jalan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu dan penumpang kereta mewah itu tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta mereka remuk di bahagian hadapan sebelah kiri.



Jalan tidak rata punca nahas

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku apabila pacuan empat roda yang dinaiki mangsa memotong sebuah treler sebelum kembali ke laluan asal.

Namun, menurutnya, selepas memotong treler, pacuan empat roda itu secara tiba-tiba melambung disebabkan keadaan jalan yang tidak rata mengakibatkan kenderaan mangsa bergesel dengan sebuah Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita yang datang dari arah bertentangan.

Akibat pergeseran itu kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Porsche yang berada di belakang Proton Wira berkenaan.

“Mayat mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat balai Kerteh kerana mangsa turut tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya.

Suasana sayu menyelubungi pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Isteri mangsa, Datin Wan Esah Wan Mamat, 57, bersama empat anaknya, Lina Syamimi, 23, Kamal Fahmi, 21, Lina Mariam, 20, dan Mira Fatimah, 17, kelihatan sugul dan masih terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa bapa mereka.

Wan Esah berkata, suaminya itu keluar rumah sejak pagi dan sempat memberitahu mahu ke Kemaman atas urusan perniagaan.

Namun, suri rumah itu tidak menyangka itulah kali terakhir berpeluang bercakap dengan suaminya yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.



Syukur terselamat

Sementara itu, penumpang Proton Wira yang duduk di kerusi belakang, Mohd Faridzuan Khamis, 16, dari Kuala Abang, Dungun berkata, walaupun kereta yang dinaiki bersama ibunya, Nor Lida Ba’i, 41, dan dua abang saudaranya turut kemik di bahagian hadapan selepas bergesel dengan pacuan empat roda mangsa tetapi mereka bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami dalam perjalanan pulang ke Dungun selepas menghantar barang di Johor Bahru. Tak sangka pula akan terlibat dalam nahas, tetapi kami sangat bersyukur kerana terselamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment