Friday, August 26, 2011

Cemas tayar lori terjerlus



BELUKAR BUKIT - Gara-gara lantai jambatan reput, seorang pemandu lori bersama kelindannya melalui saat mencemaskan dan nyaris mengalami kecederaan apabila kedua-dua tayar hadapan kenderaan yang mereka naiki terangkat selepas tayar belakang sebelah kiri terjerlus ketika melalui jambatan itu, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pemandu lori, Mohd Nazri Mat Shariff, 30, dan kelindannya dikenali sebagai Mie, 27, baru selesai me-ngambil kelapa sawit untuk dihantar ke kilang.

Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, Mohd Nazri berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan situasi cemas itu menyebabkan kelindannya ingin terjun dari lori kerana bimbang sekiranya kenderaan itu terbalik, namun, dia sempat menghalang kerana tindakan sedemikian boleh membahayakan keselamatan.

“Ketika melalui jambatan itu, secara tiba-tiba lantainya reput sehingga menyebabkan tayar belakang sebelah kiri tersangkut dan kerana itu jugalah kedua-dua tayar bahagian hadapan terangkat.

“Saya dan kelindan keluar perlahan-lahan dan selepas keluar, kepala lori masih lagi terangkat,” katanya.

Mohd Nazri berkata, gara-gara jambatan reput, dia terpaksa mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan tayar yang tersangkut.

“Berikutan kejadian ini boleh melibatkan kehila-ngan nyawa, saya berharap pihak berkenaan dapat turun padang.

“Pihak berkenaan juga perlu mengambil tindakan segera dengan menggantikan jambatan kayu ini kepada konkrit supaya ia tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah terdengar ura-ura mengatakan tender bagi pembinaan jambatan konkrit sudah dikeluarkan, namun tidak tahu kebena-ran perkara ini sedangkan keadaan kayu jambatan itu semakin hari semakin reput.

“Bagaimanapun, diharapkan perkara ini dapat perhatian serius apatah lagi jambatan ini digunakan setiap hari untuk ke kawasan pertanian dan ia juga laluan ke tanah perkuburan,” katanya.

No comments:

Post a Comment