Friday, August 26, 2011

Didatangi mimpi lelaki tua



KOTA – Kesukaran hidup pasangan suami isteri dalam membesarkan anak sehingga hampir berputus asa akhirnya menemui rahmat dari Allah SWT apabila pasangan ini nekad memeluk Islam pertengahan 1980-an.

Pasangan, Mohd Ali Abdullah, 57, dan Kamariah Abdullah, 54, yang kini menetap di Chengkau, sebelum memeluk agama Islam, fikiran serta hati mereka tidak tenteram dan setiap masalah dialami bagai menemui jalan buntu.

Menurut Mohd Ali, sebelum memeluk Islam, salah seorang anak mereka meninggal dunia berkemungkinan kerana masalah dihadapi selain terpaksa tidur merempat di kaki lima selama seminggu sebelum menumpang teduh di rumah sahabatnya di Terachi, Kuala Pilah.

Menurutnya, ketika menetap di rumah sahabatnya, dia sering didatangi mimpi seorang lelaki tua berserban putih datang kepadanya dan menjanjikan kekayaan.

“Lelaki serban itu mengatakan kekayaan bukan wujud dalam bentuk wang ringgit tetapi bakal berada dalam hati dan jiwa saya.

“Mungkin segalanya sudah tertulis buat saya apabila diambil bekerja oleh seorang lelaki dipanggil ‘Pak Haji’ dan menoreh getah di tanah seluas enam hektar di mana selepas dua tahun bekerja, saya sekeluarga terus memeluk Islam,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Kepada Warga Miskin India Muslim di Pejabat Dun Kota, kelmarin.

Pada program berkenaan, Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said menyampaikan sumbangan kepada 27 individu di mana 10 daripadanya merupakan mualaf atau saudara baru.

Hadir sama pada program berkenaan, Pengerusi Tetap PPP Negeri Sembilan, Shahrul Hamid Syed Mohaiden; Pengerusi PPP Dun Kota, S Seladorai dan wakil MIC, Arimugam.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, dia amat berharap agar kesemua saudara baru akan dapat menghadiri kelas disediakan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi memantapkan lagi ilmu dan pemahaman agama.

“Jika saudara baru berbuat demikian, mereka tidak akan tersasar dari agama terbesar di dunia ini, bahkan mereka juga tidak akan sesekali melakukan kebiasaan yang salah di sisi agama seperti meminum arak,” katanya.

No comments:

Post a Comment