Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, gerak kerja ditubuhkan Kerajaan Negeri itu dianggotai beliau bersama Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar.
Menurutnya, pertemuan secara berasingan itu akan bermula jam 2 petang di mana Jais dan Komuniti Harapan masing-masing akan diberikan satu jam untuk pembentangan laporan mengenai proses dan apa yang berlaku pada malam 3 Ogos lalu.
“Gerak kerja ini bermaksud pendengaran dan hasil pendengaran itu kita akan berbincang dan salah satu daripada tugas kita adalah memberikan laporan kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah),” katanya.
Abdul Khalid berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung apa yang hendak diperjelaskan kedua-dua pihak memandang beliau belum mendengar laporan mereka.
“Kalau kita sudah dengar (penerangan), kita akan ada banyak pilihan dan boleh jadi kita panggil balik sekiranya ada beberapa soalan hendak dikemukakan.
“Sebab itu, saya tidak bercadang mengemukakan tarikh (menghadap Sultan Sharafuddin) tetapi sekurang-kurangnya selepas mendengar kedua-duanya saya boleh menentukan apa yang mesti kita tentukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan Sultan Sharafuddin murka terhadap beliau ketika mengulas titah baginda yang tidak pernah memperkenankan penubuhan Majlis Syura oleh Kerajaan Negeri.
Malah katanya, semalam beliau mengiringi baginda, berbuka puasa dan solat bersama (menunjukkan tidak timbul isu tersebut).
“Dalam pengurusan, kita ada cara dan teknik. Jadi kita betulkan balik sebab tujuan kita adalah mencari penyelesaian dan bukannya hendak menimbulkan beberapa lagi isu,” katanya.
Sementara itu, beliau mewakili barisan Exco dan Kerajaan Negeri mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Ulangtahun Kemerdekaan ke-54 kepada seluruh rakyat Selangor.
“Kerajaan Negeri dan Menteri Besar akan mengadakan rumah terbuka pada raya pertama bertempat di Dataran SUK bermula 11 pagi hingga 3 petang. Saya menjemput seluruh rakyat Selangor untuk hadir di rumah terbuka ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment