Friday, August 26, 2011

‘Saya tak takut diugut’

Oleh Hayati Ibrahim ya_t@hmetro.com.my
 PUTRAJAYA: “Saya tidak takut dengan sebarang ugutan. Ia berikan saya semangat dan ini menunjukkan kami berada di landasan yang betul, kalau tidak mereka tidak akan mengugut saya,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Menurutnya, beliau acap kali menerima ugutan sejak bertugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun ugutan terbaru itu kali pertama membabitkan peluru hidup. Katanya, beliau percaya tindakan mereka yang menghantar surat ugutan berkenaan cubaan menakutkannya daripada meneruskan pelbagai agenda ketika ini. “Ini kali pertama terima peluru hidup, tetapi tidak akan melemahkan semangat saya untuk meneruskan agenda yang sudah dirancang. “Saya akan teruskan apa saja agenda yang sudah dirancang untuk meneruskan tanggungjawab yang saya galas ketika ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, di sini, semalam. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman; Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Alwi Ibrahim. Dalam laporan semalam, Hishammuddin dikatakan menerima dua peluru hidup dan nota ugutan yang dihantar menerusi sampul dan diposkan ke pejabatnya di Putrajaya, Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment