Dalam kejadian kira-kira jam 12 malam itu, mangsa dikenali A Balu, 38, dari Taman Emas, Kapar meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Sementara, rakannya berusia 24 tahun yang parah di kepala dan mengalami pendarahan dalaman koma dan kini dirawat di wad kecemasan HTAR.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dirempuh sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dari arah Banting ke Klang.
Menurutnya, kereta jenis Toyota Vios itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal yang dalam perjalanan menghala ke Banting.
“Pertembungan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng terpelanting ke atas cermin kereta sebelum tercampak ke jalan raya.
“Kedua-dua mangsa yang mengalami cedera parah dikejarkan ke HTAR, bagaimanapun salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya.
Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya bahagian hadapan kereta mengalami kesan remuk.
Rosly berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan pemandu berkenaan.
Insiden itu, katanya, disifatkan satu siri kemalangan ngeri ketika Ops Sikap baru dilancarkan, kelmarin.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Trafik Klang Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Harman Hanif di talian 03-337 22222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dalam pemanduan dengan mematuhi had laju dan peraturan terutama menjelang perayaan ini.
No comments:
Post a Comment