Monday, June 4, 2012

ANALISIS: Penganalisis Politik Ramal Barisan Nasional Tumbang?

ANALISIS: Penganalisis Politik Ramal Barisan Nasional Tumbang?


Dua bulan lalu, Najib Altantuya minta maaf atas kesilapan-kesilapan lalu Barisan Nasional (BN). 

Langkah itu tidak pernah diambil oleh mana-mana ketua BN, yang lazimnya bertindak sebagai perdana menteri.

Semalam, timbalannya, Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) sebagai penentu hidup atau mati BN.

Mesej Muhyiddin itu ditafsir dari perspektif dan sudut masing-masing. 

Ada yang mengatakan BN bimbang, panik dan risau akan masa depannya.

Paling jelas, kenyataan terbuka orang nombor satu dan dua semasa BN itu membawa mesej yang jelas - BN perlu kekal berkuasa dan mahukan mandat untuk terus mentadbir negara ini.

Mengulas kenyataan terbaru semalam, penganalisis melahirkan pandangan yang berbelah bahagi mengenai peluang dan masa depan BN pada PRU13.

Ada yang mengatakan bahawa BN semakin bimbang dengan saingan sengit daripada Pakatan Rakyat (PR) menjelang PRU13. 

Ketika PR melaungkan mahu Melangkah Ke Putrajaya, BN memberi kenyataan-kenyataan sebaliknya.

Mesej itu dilihat dari sudut psikologi.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani, kedudukan BN semakin tergugat dengan saingan yang diberikan oleh komponen PR dan ada kemungkinan akan berhadapan dengan kekalahan.

Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memberi tanggapan PRU13 akan menentukan nasib antara BN dan PR dalam mengemudi kerajaan pada masa akan datang.

"Saya melihat BN akan hilang kuasa jika parti komponen tidak bersatu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"PR memberi saingan yang sangat sengit untuk merampas kerusi di Wilayah Persekutuan dengan mengenal pasti calon terbaik untuk diletakkan di bahagian itu," kata beliau ketika dihubungi lewat semalam.

Azizuddin turut menekankan bahawa BN memerlukan kerjasama antara satu sama lain termasuklah MIC, MCA dan Gerakan, dan bukan hanya Umno yang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini.

"Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar BN turut memberi perhatian ke atas Sabah dan Sarawak. 

Kedua-dua negeri itu menawarkan 56 kerusi Parlimen.

Ini kerana katanya, jika dua negeri itu dimenangi PR bermakna kuasa pusat akan berada dalam tangan perikatan tidak formal itu - yang dianggotai Pas, DAP dan PKR.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata pihaknya kini lebih yakin dan optimis menghadapi PRU13 bersama PR yang tersusun.

"BN tidak boleh terlepas pandang Sabah dan Sarawak yang turut menjadi negeri jaminan kemenangan bagi mereka, PR juga tidak perlu menang semua kerusi di sana untuk rampas Putrajaya.

"PR semakin giat untuk mengaut kerusi di dua negeri tersebut untuk menang dan jika BN tidak mengambil langkah sewajarnya, tidak mustahil BN akan kalah pada PRU kali ini," kata Azizuddin lagi.

Mengupas isu yang sama, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpandangan bahawa mesej Muhyiddin menunjukkan bahawa BN sedang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"BN semakin bekerja kuat untuk hadapi pilihan raya ini kerana PRU kali ini tidak semudah dulu.

"Jika BN kalah pada PRU ini, sistem kerajaan juga akan turut berubah di bawah pemerintah baru nanti," kata beliau.

Bagi penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian, PRU13 memberi ukuran kepada kemampuan BN untuk terus kekal berkuasa ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, mesej Muhyiddin itu bukan menunjukkan kebimbangan BN sama sekali.

Sebaliknya kata beliau, "memberi keazaman kepada parti kompenan BN untuk terus mempertahankan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen."

"BN juga perlu membuat persiapan yang rapi untuk pilihan raya musim ini untuk mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya lagi.

Sebelum ini, Muhyiddin juga pernah menarik perhatian dengan mengatakan bahawa PRU13 merupakan ibu kepada segala pilihan raya yang diadakan di negara ini.

Ketika ada yang mengatakan BN semakin panik, peluang untuk perikatan yang memerintah negara ini sejak merdeka masih belum berakhir. Kerisauan dan kebimbangan ada pada semua parti yang bertanding - BN dan juga PR di mana satu perikatan mahu kekalkan kuasa manakala yang satu lagi mahu menggantikannya.

Itu matlamat mereka. 

Jika tidak apa gunanya bertanding dana arena politik bernama PRU.

No comments:

Post a Comment