Visual Bersih 3.0: Kenapa tak tunggu 10 tahun?
Abdul Aziz Mustafa,
04 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 4 Jun: Mengapa tidak tunggu 10 tahun lagi untuk siar visual himpunan Bersih 3.0 di laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN), Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan.
"Rakyat yang terlibat dalam himpunan tersebut telah siarkan pelbagai gambar dan rakaman semasa perhimpunan itu seawal hari yang sama, mengapa KDN perlu menanti sehingga lebih dari sebulan untuk menyiarkan rakaman itu?
"Tidak masuk akal jika sebuah kementerian yang mendapat peruntukan begitu besar setiap kali belanjawan negara di bentangkan bertindak begitu lembab sedangkan rakyat yang menyiarkan pelbagai gambar dan rakaman semasa perhimpunan 28 April itu seawal hari yang sama tidak mendapat apa-apa upah, gaji atau bayaran," katanya.
Mahfuz menyifatkan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa rakaman visual tersebut sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya akan dimuat naik ke laman web kementerian hari ini dan akan dapat dilihat orang ramai mulai esok sebagai sudah terlambat dan amat lucu.
"Kalau rakaman-rakaman yang disediakan oleh KDN itu benar-benar menguntungkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), mengapa tidak siarkan pada hari yang sama?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu terus mempersoalkan.
Mahfuz juga mempersoalkan, mengapa rakaman itu kelihatan tergesa-gesa hendak disiarkan selepas tersiar berita bahawa populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh merudum selepas himpunan Bersih 3.0 itu?
"Kenapa nampak kelam kabut hendak siarkan selepas diumumkan rating Najib jatuh merudum?
"Adakah kerana kerajaan baru tersedar bahawa rakyat benci tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan kerajaan Najib terhadap mereka yang berhimpun menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu?" soal beliau.
Mahfuz juga menyuarakan kebimbangannya rakaman yang akan disiarkan itu diedit oleh kementerian Hishammuddin terlebih dahulu untuk menipu rakyat.
"Kita masih ingat selepas Bersih 2.0, polis mendakwa (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan jenis Pajero milik polis sedangkan sebelum itu Mat Sabu membuat laporan polis bahawa beliau dilanggar kenderaan jenis Proton Waja milik polis.
"Seluruh dunia melihat rakaman insiden itu diedit terlebih dahulu dan oleh kerana terlalu ghairah hendak menuduh Mat Sabu berbohong, polis terlupa laporan kepada pihaknya yang dibuat oleh Mat Sabu yang menyatakan dengan jelas bahawa beliau dilanggar oleh kereta jenis Waja milik polis.
"Ternyata akhirnya polis menjadi bahan ejekan rakyat kerana pembohongan itu," kata beliau.
Mahfuz bagaimanapun yakin, rakaman yang hendak dipertontonkan oleh KDN kepada orang ramai itu akan menjadi bahan ketawa dan persendaan rakyat.
"Rakyat tidak lupa rakaman yang diedit dalam peristiwa Mat Sabu dilanggar Proton Waja polis itu dan saya yakin rakaman KDN mengenai Bersih 3.0 itu juga akan menjadi bahan ketawa dan ejekan rakyat," katanya
No comments:
Post a Comment