Royalti dikaut, lebuh raya pula dipersenda...
KOTA BHARU: “Sudahlah royalti minyak yang dikaut dari bumi Kelantan dinafikan hak, tiba-tiba usaha Kelantan mahu membina lebuh raya rakyat pula cuba diperkecilkan.
“Watak seperti Awang Adek bukan sahaja memperkecilkan niat baik kerajaan negeri bahkan sering melontar tohmahan berniat buruk,” kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Kata beliau sewajarnya Timbalan Pengerusi Umno Kelantan itu merenung kembali apakah usaha yang dilakukannya untuk memastikan projek lebuh raya yang telah diluluskan sejak 1986 dilaksanakan di negerinya sendiri.
Beliau berkata, biar pun projek berkenaan tidak mudah dilaksanakan, namun tiada lagi pilihan yang ada setelah Kelantan dinafikan hak dalam tempoh begitu lama.
“Mengharapkan pemimpin Umno yang berjawatan menteri dan timbalan menteri nampaknya jauh sekali, bahkan ada yang lebih berminat untuk mengisi akaun peribadi atas nama sumbangan kebajikan,” katanya di sini.
Baru-baru ini Datuk Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan mempertikaikan kemampuan kerajaan negeri membina lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, bahkan disifatnya sebagai helah mengaut balak yang terdapat di sepanjang kawasan laluan dirancang.
Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, kenyataan pemimpin Umno terbabit langsung tidak mencerminkan sebagai seseorang yang berjawatan Timbalan Menteri.
Menurutnya tidak sepatut beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan projek lebuh raya berkenaan bagi manfaat seluruh rakyat.
“Adalah lebih baik pemimpin Umno Kelantan menutup mulut daripada memperkecilkan projek lebuh raya rakyat kalau sekadar mengeluarkan kenyataan bersifat persepsi yang tidak membina,” ujarnya. HD
No comments:
Post a Comment