Saturday, July 7, 2012
'Isteri tahanan ISA 'diugut', diminta tarik laporan'
Gerakan Mansuhkan ISA mendakwa, isteri seorang tahanan ISA diminta pegawai Bukit Aman supaya menarik balik laporan polis berhubung dakwaan suaminya dipukul dalam kem Kamunting kerana mengadakan mogok lapar.
Setiausaha GMI Ahmad Syukri Ab Razab mendakwa, polis "mengugut" dengan warganegara Indonesia itu Nunurheni Onim dengan memperingatkan bahawa visanya akan tamat tempoh pada September ini.
"Sebab apa kita kata ugut, dia (polis) kata, Puan Nunurheni ini warga Indonesia, datang ke Malaysia menggunakan visa, ikut suami. Dan visa ikut suami akan tamat pada bulan September ini.
"Dia (polis) kata, sila beri kerjasama, visa puan akan tamat bulan September ini," kata Ahmad Syukri (atas, sedang berucap).
Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh didiamkan kerana seolah-olah membiarkan kezaliman, kata Ahmad Syukri kepada pemberita selepas berucap dalam acara pidato anti-ISA di Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat hari ini.
Suaminya Razali Kasan antara 45 orang yang masih ditahan di Kamunting. Walaupun ISA dimansuhkan April lalu, perintah tahanannya masih berkuatkuasa dan hanya boleh dibatalkan menggunakan kuasa menteri berkenaan.
Demo siswa Ahad ini
Ahmad Syukri kemudiannya memberitahu Malaysiakini, GMI mengetahui perkara tersebut selepas menghubungi Nunurheni petang semalam.
Ahmad Syukri juga berkata Nunurheni juga tidak akan menarik balik laporan polis tersebut.
Menurut Ahmad Syukri, tiga anggota polis datang ke rumah Nunurheni di Johor Bahru tengah hari kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Mohd Safwan Anang dalam ucapannya mengumumkan pihaknya akan terus mendesak kerajaan membebaskan tahanan ISA.
Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan demonstrasi di hadapan kem Kamunting pada Ahad ini, jam 11 pagi.
"Mahasiswa akan turun dan mengajak seluruh rakyat turun menunjukkan solidariti (kepada tahanan)," katanya.
'Isteri tahanan ISA 'diugut', diminta tarik laporan' - Malaysiakini:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment