Salam buat seluruh sahabat muka buku yg dikasihi,sedikit peringatan buat kita bersama.Sgt rugilah bg kita sekiranya Ramadhan hanya menjadi pesta ifthar dan moreh. Lebih menyedihkan bila ada dikalangan kita tenggelam dalam keghairahan untuk berbelanja besar menyambut hari lebaran.Jauh lebih parah lagi bila Ramadhan dilihat hanya untuk mengumpul pahala buat diri semata-mata tanpa memikirkan kezaliman dan penyelewengan dalam sistem pemerintah yang wujud sekarang ini.
Sebab itu harus dihayati kenapa Al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadhan. Al Quran Karim menjadi pencetus kepada islah total kepada sistem yang ada. Bukan untuk sistem ketika itu semata-mata akan tetapi buat seluruh dunia hingga akhir zaman.
Jika Al Quran menjadi risalah terbesar buat manusia,maka mesej ketauhidan yang merupakan inti perubahan hendaklah juga menjadi sebab kenapa manusia Muslim-Mukmin perlu membuat anjakan kepada semua aspek kehidupan pada bulan Ramadhan.
Anjakan terbesar adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya hidayah, dari syirik kepada tauhid, dari maksiat kepada taat, dari batil kepada hak, dari kezaliman kepada keadilan.
Inilah misi Ramadhan yang harus difahami dan dihayati oleh seluruh umat Islam khasnya dan rakyat di negara ini amnya. Dengan itu penghayatan ibadah berpuasa bukan sekadar untuk mengekang kejahatan tetapi juga adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
Kalimah "la 'allakum tattaqun" merangkum pengertian "la 'allakum muflihun" yakni bertaqwa yang menjana kemenangan dan islah. Demikian sirah Nabawiyyah yang merakam babak mempertahankan komuniti Islam pertama di Madinah menghadapi pencerobohan komuniti Quraisyh Musyrikin ketika bertempur dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan. Berperang dalam bulan yang memberi energi tambah yang luar biasa sehingga mampu mengalahkan musuh yang bernisbah 3 kali ganda lebih besar dari jumlah mujahidin mukmin yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Tuntutan ke atas semua Muslim-Mukmin ketika menjalani ibadat berpuasa dalam konteks membangunkan negara bersama Islam adalah untuk berkomunikasi bukan sekadar untuk mendapatkan sokongan, akan tetapi untuk menjalinkan perhubungan persaudaraan seutuhnya antara seluruh umat Islam sehingga mampu menggerakkan perubahan total kepada sistem pemerintahan yang ada.
Cabaran yang tidak kurang penting ialah untuk membina kebangkitan di kalangan setiap Muslim di negara umat Islam agar upaya mengembalikan maruah golongan Muslimin diusahakan.
Bulan Ramadhan adalah bulan muhasabah intensif untuk mengukur dan menilai bukan sahaja diri kita masing-masing tetapi juga kedudukan Islam dan umat Islam keseluruhannya. Di hadapan kita adalah sejumlah persoalan yang sangat mendesak.
Pencerobohan ke atas Palestin, Iraq, Afghanistan dan Somalia masih berterusan. Perjuangan untuk kemerdekaan di Mindanao, Thailand Selatan, Myanmar, Kashmir, Xinchiang dan Chechnya tidak kunjung selesai. Pergelutan untuk mendapat ruang demokrasi di Tunisia, Mesir, Libya, Syria, Morocco, Bahrain , Saudi Arabia dan negara Teluk belum menemukan titik penyelesaian.
Tidak kurang tenat pula umat dihadapkan dengan persoalan Islamofobia dan ideologi sekular dari negara Barat. Disamping itu pula konflik puak (sectarian conflict) antara umat Islam terus diapi-apikan di kalangan umat Islam sendiri.
Bulan Ramadhan adalah bulan mengumpul kekuatan ruhiyyah dan aqliyyah untuk umat. Bulan mubarak ini sepatutnya mampu mengerakkan umat mengikiskan faham nasionalisme sempit berciri jahilyyah dan kembali kepada kesedaran berummah.
Kita mengharapkan Ramadhan kali ini adalah peluang terbaik rakyat di negara ini melakukan perubahan besar-besaran. Menolak kemungkaran dan menegakkan kebenaran dalam seluruh bidang ketatanegaraan adalah tuntutan Islam yang telah terbukti dapat membangunkan tamadun bernegara paling cemerlang dalam sejarah.
Moga natijah dari Ramadhan kali ini dapat memberikan kita kekuatan dlm gerakkerja da'wah bagi memastikan tertegaknya sebuah negara yg mendapat redha & rahmat Allah swt.InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment