"Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa yang mengerjakannya, bererti ia menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya, bererti ia telah merobohkan agama".
(Riwayat Al-Baihaqi)
Ibadah solat pada mulanya difardhukan sebanyak 50 kali solat, siang dan malam. Rasulullah s.a.w. berulang kali mengadap Allah SWT, mohon supaya diringankan. Allah SWT memperkenan permintaan Baginda dengan mengurangkannya kepada 5 kali sahaja. Allah SWT berfirman:-
"Wahai Muhammad, itulah solat lima kali, setiap siang dan malam. Pada setiap sekali daripadanya, dikira sepuluh. Jika 5 kali, maka ia menjadi 50 solat".
Ini menunjukkan bahawa solat itu hebat statusnya, iaitu hebat cara menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w., malah hebat juga cara melakukannya. Allah SWT menilai seseorang Islam sama ada baik atau tidak, melalui amalan solatnya.
Amalan yang akan dihisab terlebih dahulu di hari akhirat, adalah amalan solat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Persoalan pertama yang akan ditanya (dipertanggungjawabkan) kepada manusia di hari akhirat, ialah solat. Apabila solatnya dapat diterima (oleh Allah), maka akan diterima seluruh amalnya, dan sekiranya solatnya ditolak (oleh Allah), akan ditolak seluruh amalnya".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis ini memberi pengajaran kepada kita, bahawa sekalipun seseorang itu melakukan puasa Ramadhan, membayar zakat, menunaikan haji, bersedekah kepada fakir miskin, berjasa besar kepada bangsa dan negara, namun jika tidak mengerjakan solat atau melalaikannya, maka seluruh amalan kebaikannya akan ditolak oleh Allah SWT.
Solat adalah suatu ibadah yang dilakukan dengan menggerakkan seluruh jasmani dan rohani. Manakala lisan pula, mengucap kalimah kalimah yang sangat indah, mengandungi pujian, penghormatan, dan harapan tinggi yang ditujukan kepada Allah SWT. Apabila setiap gerak badan dan bacaan yang kita lakukan dengan ikhlas, sempurna, khusyuk dan penuh kesedaran, maka semuanya itu akan mempengaruhi diri, jasmani, rohani dan pemikiran serta akhlak, sehingga solat itu benar-benar dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
No comments:
Post a Comment