KUCHING 31 Julai - Kedaifan hidup memaksa seorang saudara baru bersama keluarganya tinggal dalam sebuah stor yang sempit di samping tiada kemudahan asas seperti elektrik dan air di tebing Sungai Maong di sini.
Bekerja mengambil upah membaiki rumah dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan, Muhammad Abdullah, 44, tidak mempunyai pilihan selain menetap di stor tersebut bersama isteri dan empat anaknya sejak 2008.
Dia yang memeluk Islam sejak empat tahun lalu berkata, 'rumah' itu sebenarnya milik seorang jiran yang tidak sampai hati melihat mereka sekeluarga hidup merempat.
"Sebelum ini, kami berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat. Apabila jiran membenarkan kami tinggal di situ, saya terus mengubah suai stor ini menjadi rumah.
"Bagaimanapun, saya tidak mampu membeli kayu. Jadi rumah ini hanya berlantaikan papan lapis yang telah usang, manakala bumbungnya yang berlubang-lubang pula saya tampal menggunakan kanvas," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Muhammad, disebabkan pendapatannya hanya cukup makan, kesemua anaknya yang berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun terpaksa melupakan hasrat untuk menimba ilmu di sekolah.
"Upah saya hanya RM40 sehari. Jika hujan, saya tidak bekerja menyebabkan keluarga kami hilang punca pendapatan.
"Anak sulung mengikut jejak langkah saya iaitu mengambil upah membaiki rumah manakala adik-adiknya yang lain tidak bersekolah langsung," katanya.
Nasib mereka sekeluarga bertambah buruk apabila isterinya, Misiah Abdullah, 43, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak dua minggu lalu setelah paru-parunya dijangkiti kuman akibat penyakit tibi.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi jiran mereka iaitu Rajemah Seman di talian 010-9749932.
No comments:
Post a Comment