Riba & Bentuknya Dalam
Konteks Semasa Di Bank Konvensional
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Umum telah mengetahui bahawa
antara perbezaan utama di antara Bank Islam dan Bank Konvensional adalah
keterlibatan dengan Riba. Justeru bahagian ini akan mendedahkan secara ringkas
dan padat berkenaan Riba dalam konteks semasa.
Antara
soalan yang kerap kali kita dengari berkaitan Riba adalah :
·
Apakah gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan
Bank Konvensional hari ini dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?
·
Apakah pula yang di maksudkan bahawa riba adalah suatu penindasan
dan menekan? Siapa yang ditindas sebenarnya?
·
Bagaimana mungkin sebuah Bank boleh meraih keuntungan tanpa
mengenakan Riba?.
Penulisan
ini akan cuba mengupas ringkas semua persoalan yang dinyatakan tadi.
1) Apakah
gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank Konvensional
hari dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?
Sebenarnya
bukan hanya Islam yang mengharamkan dan mengutuk amalan Riba, malah ia juga di
haramkan di kalangan orang Yahudi. Larangan ini termakstub di dalam kitab
mereka sama ada di dalam kitab undang-undang Talmud ataupun Ibrani.
(Rujuk bab Exodus ayat-ayat 22:35-37 menyebut : Janganlah engkau mengambil
bunga wang atau riba daripadanya...)
Selain
itu Riba juga dicela oleh ajaran Kristian sebagaimana yang terdapat di dalam
bab Luke 6:34-35. [1]
Riba
dalam bentuk hari ini boleh berlaku dalam keadaan berikut :-
1)
RIBA DALAM PINJAMAN.
Apabila
seorang pelanggan datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi
Kewangan yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk
:-
·
a- Membeli kereta ( Car Loan )
·
b- Membeli rumah ( Home Loan )
·
c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )
·
d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )
·
e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )
Dalam
proses pinjam meminjam di atas, proses pinjam meminjam antara kedua-dua pihak
akan dibuat. Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si
pelanggan B untuk membeli kereta, rumah, mendapatkan modal syarikat atau
peribadi, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B, bagaimanapun
sebagai imbalan balik kepada pihak Bank, mereka akan menetapkan bunga, faedah
atau interest sebanyak 8 % (sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu (RM
8,000) di bawah nama ‘interest' bagi membolehkan pelanggan mendapat wang yang
diperlukan. 8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD.
Sila lihat takrifan jenis riba ini sebelum ini. Semua jenis pulangan seperti
ini adalah Riba secara sepakat ulama. [2]
Jumlah
faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan pula
mengikut bulan. Menurut hukum Islam, jumlah RM 8,000 yang diperolehi ini adalah
merupakan hasil bank yang haram secara pasti. Pelanggan yang memberi RM 8,000
tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan Riba.
Nabi SAW menyebut
الآخذ
والمعطي سوآء
Ertinya
: " Si pemberi (riba) dan si pengambil Riba adalah sama" ( Riwayat
Muslim )
Persoalannya
: Mengapa pula ia di haramkan ? apa salahnya peminjam dikenakan Riba (interest)
?
Sebagai
jawapan, ia diharamkan kerana :-
·
Eksploitasi kesusahan
pelanggan : Hasil RM 8,000 itu sebenarnya diterima hasil daripada
mengeksploitasikan kesusahan pelanggan. Iaitu, hanya pelanggan yang mempunyai
keperluan kewangan mendesak terpaksa pergi ke Bank bagi mendapatkan pinjaman
untuk merawati masalah kewangannya, tetapi dalam keadaan kewangannya mendesak,
pihak Bank pula mengenakan bayaran tambahan (interest) atas pinjaman yang
diberikan. Inilah yang dinamakan riba itu menekan dan menindas, di tambah pula
apabila si pelanggan gagal membayar bayaran bulanan yang telah ditetapkan oleh
pihak Bank. ketika itu, peminjam dikehendaki membayar penalti pula, penalti ini
juga bersifat "compounding" (iaitu akan dimasukkan di dalam modal
pinjaman dan akan berganda interestnya), ia adalah Riba yang menekan lagi
menindas yang kelihatannya sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
Perbezaan
di Bank-bank Islam : Adapun, di dalam pengamalan perbankan Islam yang
mengenakan sejumlah wang sebagai denda atau bayaran kos rugi (ta'widh atau
‘compensation') yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar
hutangnya kepada bank dalam waktu yang ditetapkan, pembaca perlu membezakan
bayaran denda yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh Bank
Konvensional.
Denda
lambat bayar yang di kenakan oleh Bank Islam adalah berdasarkan proses
jual beli secara bayaran ansuran manakala penalti Bank Konvensional adalah
hasil dari kontrak pinjaman, maka apabila bayaran ansuran tidak
dilangsaikan pada waktunya, ta'widh akan dikenakan. Ta'widh yang dikenakan oleh
Bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan
di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan
kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh
kebanyakkan Bank-bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank Berhad,
Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad.
·
Meruntuh Moral dan Akhlak : Faedah
(interest) atau Riba yang dikenakan juga akan menyebabkan pudarnya akhlak mulia
bantu membantu di dalam masyarakat, ia mengundang sikap orang yang berduit
untuk menekan individu atau pihak yang memerlukan bantuan kewangan. Ini bakal
menghancurkan sifat tolong menolong di antara manusia. Selain itu, ia bakal
melahirkan masyarakat yang marah dan tertekan antara satu sama lain. [3]
·
Menyubur Sikap Si Kaya Malas
Bekerja & Kurang Dinamik: Ia juga bakal melahirkan
orang kaya atau Bank yang malas untuk bekerja keras bagi mencari keuntungan
secara jual beli dan mengambil risiko, mereka akan mula berfikir mencari untung
secara mudah, iaitu dengan memberi pinjam serta mengenakan interest. Lalu
dengan cara ini mereka boleh mendapatkan untung dengan mudah sahaja. Islam
tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras, dan Islam juga hanya
menerima konsep :
الغرم
بالغنم
Dan
juga hadith :
أن
الخراج بالضمان
Ertinya
: "(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan
menghadapi risiko (dan jaminan barang yang dijual adalah selamat -
bermakna tiada untung tetap dijanjikan)" (Riwayat As-Syafie, Ahmad,
Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; As-Suyuti & Albani : Hasan)
Menurut
Dr Muhammad Az-Zuhayli menjelaskan lagi ertinya dengan katanya
"sesungguhnya siapa yang yang menanggung kos dan risiko kerugian, maka
merekalah yang layak mendapat manfaat atau keuntungan jika ada".[5]
Justeru
sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di
atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti
ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan
ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia
adalah haram.
Lihatlah
bagaimana displin Islam dalam memastikan setiap individu menyumbang sesuatu
kerja yang baik dan meningkatkan kualiti ekonomi. Dengan wujudnya
usaha-usaha sebegini bertambahlah peluang kerja, semakin meriahlah suasana
ekonomi dan berkurangan jumlah pengangguran.
Pinjaman
Dalam Islam ?
Perlu
diketahui bahawa, disiplin Islam dalam perihal pinjam meminjam yang dibenarkan
hanyalah pinjaman tanpa sebarang faedah. Sebagaimana di sebutkan dalam kaedah :
كل قرض جرّ نفعاً فهو الربا
Ertinya
: "Setiap pinjaman yang membawa kepada sesuatu manfaat buat pemberi pinjam
maka ia adalah Riba" [6]
Imam
Ibn Quddamah pula berkata :
كل قرض شرط فيه أن يزيده فهو حرام بغير خلاف
Ertinya
: "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya untuk diberikan tambahan, maka
ia adalah haram tanpa sebarang khilaf" [7]
Justeru,
tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam
dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara
sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh
Hasan (pinjaman tanpa sebarang ‘interest' dikenakan kepada si peminjam).
Islam
amat menggalakkan pinjaman tanpa faedah ini sebagaimana disebut oleh Baginda
SAW :
"
Pada malam aku dibawa ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku telah melihat
tertulis di dalam pintu Syurga " Setiap sumbangan sedeqah
digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah
digandakan sebanyak 18 kali.."( Riwayat Ibn Majah)
Justeru,
tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam
dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara
sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh
Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).
2.
RIBA DALAM AKAUN SIMPANAN DAN PELABURAN.
Bagi
menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti
berikut :-
Ia
berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-
·
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
·
Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).
Penjelasannya
adalah seperti berikut :-
·
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan
Tetap (Fixed Deposit account).
Dalam
akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam
"conventional fixed deposit account". Menurut kontrak dan perjanjian
yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A
tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang
itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat
yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk
memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank
untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.
Sebagai
imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar
faedah tertentu (‘fixed interest' atau ‘fixed return') sebagai contoh 3 % untuk
diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi
suatu tempoh selama matang antara 1 - 11 bulan, kadar faedah adalah menurut
budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat
kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.
Ingin
ditegaskan di sini bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari "fixed deposit
account" tadi adalah Riba ‘Ad-Duyun' dari jenis ‘Al-Qard'. Ini adalah
kerana, sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam
(iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan keuntungan di
awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan.
Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).
·
Akaun Simpanan Biasa (Ordinary
Saving account).
Manakala
dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi
terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap
sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari
pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan
di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan)
yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat
pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau
dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan
hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar
kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank
menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira
sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank
pasti bertambah dan membebankan.
Justeru, penindasan
berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di
atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau
pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).
Akaun
di Perbankan Islam
Dalam
pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana
semua pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih
sama ada ingin menggunakan:-
·
a) Akaun Simpanan atas asas Wadi'ah (simpanan
biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);
Dalam
kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan
adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh
pelanggan. Bagi memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak
pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan
pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh
mengeluarkan wangnya pada bila-bila masa serta akan menanggung segala kerugian
jika berlaku. Sebagai menghargai pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga
membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka
jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang)
kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.
Bagaimanapun
jumlah dan kadar pulangan dalam bentuk ‘hibah' atau hadiah adalah terpulang
kepada budibicara bank sepenuhnya, malah mungkin tiada sebarang hibah dalam
keadaan tertentu. Jika ada pulangan, ia akan berubah-ubah menurut prestasi
pernigaan yang dibuat oleh Bank Islam itu. Sekiranya hasil pelaburan
menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri "hibah" yang
agak baik sebagai galakkan dan ucapan terima kasih kepada pelanggannya.
Walaubagaimanapun hibah itu sama sekali tidak boleh dijanjikan oleh Bank dan tidak
boleh pula dituntut oleh si pelanggan. [8] Oleh kerana itu, jika pelaburan mengalami kerugian,
pihak penyimpan mungkin tidak akan diberi sebarang hibah, wang simpanan mereka
juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-
·
Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya
terjamin/tanpa risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya
terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan
memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan diperolehi, demi
menggalakkan minat pelanggan.
·
Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika
tiada keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank
Konvensional.
·
Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua
pelaburan yang dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.
·
b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung)
Satu
lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah akaun
pelaburan yang menggunakan konsep ‘Mudharabah'. Ia bermaksud pihak pelanggan
ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama
produk-produk untuk akaun ini seperti " Akaun Pelaburan Umum
Mudarabah" atau "Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah" atau "
Akaun Semasa Mudarabah".
Menurut
konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi
mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya
melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di
peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan
sebagainya.
Satu
perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang
terkumpul hanya akan digunakan untuk :-
·
a) Dilaburkan untuk kegunaan perniagaan bank Islam yang telah
dipastikan halal
·
b) Dilabur kepada pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya
halal untuk membiayai perniagaan mereka, semua perniagaan ini telah di tapis
oleh Majlis Penasihat Shariah dan pengurusan bank. Justeru semua
"Shariah-Approved companies" ini telah di pastikan dengan teliti
ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di
perolehi adalah harta yang bersih.
Urusan
tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana
"client-friendly", iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau
"transparent" dengan "client".
Ia
mungkin akan membuat penilaian dari sudut "asset" mahupun
"lialibilities" sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah
syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan
"filter" Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-
·
i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan
induknya berkaitan produk-produk haram)
·
ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang
tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai "impure
interest income" berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )
Adapun
di Bank Konvensional, proses pengendalian akaun simpanan dan pelaburannya
adalah amat berbeza, pertamanya ia tidak terikat dengan displin Shariah,
akibatnya mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh
memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek pematuhan Shariah atau tidak.
Selain
itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan
oleh sesetengah akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah
kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia di gelar "indicavtive
Rates" atau "kadar andaian dan ramalan" dan bukannya kadar yang
tepat dan dijanjikan oleh pihak bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan
pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.
Cara
kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-
Cara
Kiraan :-
Untung
Sebenar = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) =
Keuntungan setahun
100
Katakanlah
kadar keuntungan bank adalah 3, justeru "indicative" atau andaiannya
seperti berikut :-
3 X 70 (pelanggan) = 2.10
100
Maka,
jumlah 2.10 % inilah yang akan di paprkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi
akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank
memberikan pulangan dengan kadar di atas.
Perlulah
sedari, seseorang yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank
konvensional pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya
dari wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.
Sekian
Ust
Zaharuddin
[3] Tahrim ar-Riba, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, hlm 55 ; Ar-Riba
wal Mua'malat al-Masrafiah, ibid, hlm 167 ; Hikmatu at-Tasyri' al-Islami fi
Tahrim ar-Riba, Dar as-Sahwah, cet 2, 1407 H, hlm 63 ( dengan pindaan dan
tambahan) )
[6] Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232 ; Nasb ar-Rayah,
az-Zayla'ie, 4/60 ; Ramai yang menyebut ia adalah hadith Nabi, tetapi setelah
dianalisa, terdapat perawinya bernama Sawwar Bin Mus'ab yang lemah dan di
anggap "matruk". Bagaimanapun makna yang terkandung di dalamnya
disepakati penerimaannya di kalangan ulama kerana disokong oleh pelbagai dalil
lain
No comments:
Post a Comment