Temui keluarga selepas 59 tahun
Norma (dua, kiri) bersama adik beradiknya disatukan sambil disaksikan Chong (tiga, kanan) pada sidang media, semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang pesara pembantu farmasi yang terpisah selama 59 tahun dengan keluarga asalnya, akhirnya bertemu selepas menyiarkan berita mencari keluarganya di sebuah akhbar tempatan.

Norma Hashim, 59, tidak pernah berputus asa mencari keluarga asalnya selepas diberitahu ibu dan bapa angkatnya mengenai statusnya setelah kematian mereka pada tahun 1997.

Menurutnya, usaha mencari melalui media massa dan elektronik gagal menemui keluarganya tetapi keyakinannya untuk berjumpa dengan keluarga menguatkan lagi semangatnya.
“Saya cuba menyiarkan berita melalui akhbar harian bahasa Cina dan bersyukur kerana berjaya menemui mereka,” katanya pada sidang media di pejabat MCA, Ampang di sini, semalam.

Norma berkata, akibat kesempitan hidup keluarganya, dia diberikan kepada sebuah keluarga Melayu untuk dijadikan anak angkat sejak berumur tiga bulan.

Menurutnya, ketika itu, mereka sekeluarga menetap di Kulim, Kedah, sebelum berpindah ke Bandar Baharu, Kedah.

“Saya diberitahu saya mempunyai seorang kakak kembar, sementara ibu dan ayah saya seorang peniaga minuman di pekan Kulim dan tinggal di Jalan Kilang Ubi, Kulim.

“Pada tahun 1989, saya cuba mencari mereka di kawasan itu, tetapi dimaklumkan mereka sudah berpindah,” katanya.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu akhirnya dapat bertemu dengan keluarganya selepas kakaknya, Teow Sooi Nai, 63, membaca artikel berkaitan adiknya di sebuah akhbar tempatan.

Sooi Nai berkata, dia diberitahu ibu bapanya untuk mencari adiknya yang diberikan kepada keluarga angkat sejak kecil.

Menurutnya, ibu dan bapanya telah meninggal dunia pada tahun 1974 dan 1986 dan tidak sempat berjumpa adiknya.

“Kami diberitahu, adik (Norma) diberikan kepada keluarga Melayu untuk dijadikan adik angkat dan cuba untuk mencarinya.

“Kami gembira dapat bertemunya walaupun ibu bapa kami tidak sempat berjumpa,” katanya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, Norma membuat aduan di pejabatnya pada 9 Ogos lalu dan pihaknya berjaya menyatukan mereka sekeluarga semalam.

“Ini adalah kejayaan kita untuk membantu orang ramai dan menyatukan anggota keluarga yang lama terpisah,” katanya.