Lakhdar Brahimi
Lakhdar Brahimi
DAMSYIK - Meskipun dua letupan bom kereta di Damsyik, mengorbankan sekurang-kurangnnya 10 orang manakala gencatan senjata empat hari pula gagal, Duta Khas PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi bertekad untuk mencari penyelesaian kepada perang saudara di Syria.
Seorang pegawai kerajaan memberitahu Associated Press (AP), letupan itu juga telah mencederakan 41 orang dan menyebabkan kerosakan teruk.
Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC) iaitu satu rangkaian aktivis pembangkang berkata, bom yang diletakkan di kereta itu sebenarnya menyasarkan balai polis.
Sebaik kejadian berlaku, kawasan itu telah dikepung oleh pasukan keselamatan dan ambulans segera membawa mangsa ke hospital.
Sementara itu, dalam kejadian letupan bom kereta yang berlaku di daerah selatan al-Hajar al-Aswad, menyebabkan bilangan mangsa yang terjejas akibat insiden itu masih belum diketahui.
Televisyen tempatan pula menyebut, wanita dan kanak-kanak merupakan antara yang menjadi mangsa dalam dua serangan di selatan bandar itu.
Sebelum ini, aktivis berkata, jet kerajaan juga telah dibom di daerah Harasta di bandar ini.
Brahimi yang mengusulkan gencatan senjata sepanjang cuti umum Aidiladha berkata, beliau kesal kerana kedua-dua pihak tidak mematuhi tetapan tersebut.
"Situasi sekarang semakin bertambah buruk," katanya kepada wartawan selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov.
Bagaimanapun, Brahimi menegaskan, beliau tidak akan kecewa terhadap kegagalan inisiatif beliau yang diharapkan akan membolehkan proses politik bagi menamatkan krisis Syria.
"Perkara ini tidak akan melemahkan semangat kami kerana negara ini amat penting dan rakyat Syria berhak mendapat sokongan ini.
"Kami berpendapat, perang saudara ini perlu ditamatkan segera... syria baru perlu dibangunkan semula oleh anak bangsanya sendiri," katanya lagi.
Lavrov pula berkata, sekutu pembangkang di Barat dan di Timur Tengah perlu sedar bahawa tanpa dialog dengan kerajaan Syria penyelesaian tidak akan dicapai.
Dalam perkembangan berkaitan, lapor sebuah kumpulan aktivis yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) melaporkan, sekurang-kurangnya, 110 orang termasuk 39 orang awam, 34 pejuang pemberontak dan 35 anggota keselamatan - terbunuh pada Ahad lalu.