Tuesday, October 30, 2012

Ribut Tropika Son-Tinh landa selatan China



Seorang penduduk memerhati beberapa batang pokok tumbang akibat dibadai Taufan Son-Tinh di bandar utara Nam Dinh, Vietnam semalam. Taufan itu meragut 24 nyawa ketika ia membadai Filipina, kelmarin. - AFP
BEIJING 29 Okt. - Ribut Tropika Son-Tinh dijangka melanda wilayah Guangxi, selatan China hari ini, selepas mengorbankan tiga orang di Vietnam, semalam.
Agensi berita Xinhua yang memetik laporan Pentadbiran Meteorologi China (CMA) berkata, Son-Tinh yang dikesan di timur laut Vietnam awal pagi ini sedang menuju ke arah timur laut China berserta angin sekuat antara 10 dan 15 kilometer sejam.
Laporan itu menyatakan bahawa bahagian tengah dan selatan wilayah Guangxi, barat Guandong dan utara Hainan dijangka dilanda hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh 24 jam akan datang.
Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api dan kapal yang berupaya menahan angin kencang mula beroperasi pagi ini, selepas tergendala selama dua hari sejak kelmarin, menurut Pentadbiran Keselamatan Maritim.
Setakat ini, Son-Tinh telah mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang di Filipina dan tiga di Vietnam, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera.
Dalam pada itu, golongan petani di kawasan terjejas dinasihati supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran angin kencang yang boleh menumbangkan pokok. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121030/lu_02/Ribut-Tropika-Son-Tinh-landa-selatan-China#ixzz2AkoNJgcG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment