Tiada tindakan baiki kabel
Yahaya menunjukkan keadaan kabel telefon yang dibiarkan sejak beberapa hari tanpa ada sebarang tindakan oleh pihak berwajib.
TAIPING – Kabel telefon sepanjang 30 meter yang jatuh dan terbiar di atas jalan raya sejak 10 hari lalu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk di Lorong Reban Ayam, Batu 6, Jalan Simpang, di sini.

Pengerusi Masjid Al-Ikhwaniah, Simpang, Yahaya Md Yusof menjelaskan, rasa kurang senang penduduk timbul apabila tiada tindakan daripada pihak bertanggungjawab berkenaan masalah itu sungguhpun aduan telah dibuat.

Menurutnya, keadaan itu seolah-olah menampakkan sikap tidak ambil berat oleh pihak berwajib dan seumpama sengaja membiarkan kabel berkenaan dicuri.

"Saya sendiri telah tiga kali mengadukan perkara berkenaan secara terus kepada syarikat berkenaan. Selepas kabel berkenaan jatuh ke atas jalan, dua hari saya pergi ke pejabat syarikat itu untuk melaporkan kejadian.

"Bagaimanapun tiada tindakan diambil dan saya kemudian sekali lagi menghubungi syarikat itu melalui panggilan telefon. Namun tetap tiada tindakan diambil," jelasnya ketika ditemui, kelmarin.

Yahaya mendakwa, kakitangan syarikat berkenaan seolah-olah enggan memulihkan keadaan berkenaan dan dia risau keadaan kabel itu mungkin mendatangkan bahaya kepada penduduk terutama penunggang motosikal.

"Kabel ini jatuh kerana ditimpa sebatang pokok manggis yang tumbang pada 19 Oktober lalu. Kejadian berkenaan turut dilaporkan oleh seorang jiran yang membuat panggilan ke bahagian kecemasan syarikat tersebut," tambahnya.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan memaklumkan, aduan yang dibuatnya telah diterima syarikat berkenaan serta satu nombor siri aduan diberikan.

Menurutnya, sehari selepas aduan, operator serta kakitangan syarikat berkenaan telah menghubunginya untuk bertanyakan status masalah itu, sama ada telah diselesaikan atau belum.

"Pertanyaan itu membuat saya berang. Seolah-olah kakitangan syarikat berkenaan bergantung kepada penduduk untuk memantau keadaan dan tidak boleh turun melihat sendiri masalah yang berlaku.

"Sikap berkenaan menunjukkan mereka tidak ambil berat sedangkan pegawai tinggi syarikat berkenaan menyatakan syarikat itu kerugian berjuta ringgit setahun kerana kecurian kabel," dakwanya.

Dalam pada itu, Roslan menggesa agar syarikat berkenaan mengambil tindakan segera ke atas setiap aduan yang dibuat daripada orang ramai sebagai tanda menghargai kerjasama yang diberikan.