Tuesday, October 30, 2012

Bandar raya besar di pantai timur AS bersiap sedia hadapi Taufan Sandy

NEW YORK - Beberapa bandar raya besar dari Washington hingga ke Boston pada Ahad membuat persiapan rapi menghadapi Taufan Sandy yang   dijangka membadai kawasan berkenaan yang merupakan kawasan paling padat yang didiami kira-kira 50 juta penduduk.

Diramalkan New York antara kawasan yang akan terjejas teruk oleh taufan itu.

Pentadbir Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Craig Fugate dipetik oleh CBC News sebagai berkata bahawa 'masa untuk bersiap-siap dan berbincang sudah berlalu'.

"Orang ramai perlu bertindak sekarang," katanya ketika Taufan Sandy bergerak menuju Atlantik dan akan bertembung dengan dua lagi aliran cuaca yang boleh bertukar menjadi taufan yang paling digeruni dalam rekod  Amerika Syarikat.

Syarikat-syarikat penerbangan sudah membatalkan lebih 5,000 penerbangan manakala Amtrak mula menghentikan perkhidmatan keretapi yang merentasi kawasan timur laut Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa bandar raya New York dan Philadelphia bertindak menghentikan perkhidmatan tren bawah tanah, bas dan tren sejak semalam di samping mengumumkan sekolah-sekolah ditutup hari ini.

Boston, Washington dan Baltimore juga menutup semua sekolah. Semasa bermulanya hujan yang membawa tiupan taufan di bahagian timur laut, puluhan ribu penduduk pantai dari Maryland ke Connecticut diarahkan keluar dari kawasan mereka pada Ahad.

Sandy, diletakkan dalam taufan kategori 1 dengan tiupan angin sehingga 120km sejam sejak tengah hari Ahad telah menyebabkan 65 kematian di Caribbean, sebelum membadai permukaan laut di sebelah timur.

Sementara itu, Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg hari ini mengumumkan pemindahan wajib untuk penduduk kawasan pantai yang rendah membabitkan lima bandar kecil selain sekolah-sekolah di bandar raya itu ditutup, tatkala taufan dijangka memuncak. 
Beliau berkata hospital-hospital di bawah kendalian pihak berkuasa bandar raya juga akan menangguhkan pembedahan kecil sebagai langkah berjaga-jaga.

New York Stock Exchange mengumumkan rancangan menangguhkan operasi dagangan  secara fizikal di bursa saham itu pada Isnin, namun dagangan menerusi elektronik akan diteruskan.

Sementara itu operasi pemindahan wajib yang dimulakan semalam memerlukan pegawai-pegawai polis di Bandaraya New York bergerak masuk ke kawasan-kawasan yang dijangka terjejas, mengarahkan penduduk berpindah ke rumah saudara mara atau ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

Dalam pada itu, Gabenor Andrew Cuomo mengarahkan supaya sistem pengangkutan transit dalam bandar raya itu dan kawasan pinggir dihentikan.

"Keselamatan penduduk New York perlu diutamakan sebelum badai yang akan melanda boleh mengganggu perkhidmatan tren dan bas," katanya.

Pengawal pantai di kawasan berhampiran Dermaga New York sudah mengarahkan kapal-kapal yang belayar masuk menghala ke kawasan lain manakala perkhidmatan feri Staten Island diarahkan menamatkan perkhidmatan pukul 8.30 malam dan feri East River menghentikan perkhidmatan.

Seorang rakyat Malaysia di Marlborough, Delaware, Shahrul Nakim berkata beliau sudah menerima arahan nasihat kemungkinan berlakunya gangguan bekalan eletrik selama tujuh hari di kawasan tempat tinggalnya.

Beliau dan keluarga sudah membuat persiapan termasuk mendapatkan bekalan air minuman, makanan secukupnya dan sudah menyediakan pelbagai jenis masakan yang boleh disimpan lama.

"Anak lelaki saya berusia lapan tahun, Jeremy Danial Sewell, agak cerewet dalam hal makanan. Untuk memastikan rutin makannya tidak terganggu, saya sudah masak yang perlu untuknya seperti telur rebus dan kek serta beberapa masakan lain yang boleh disimpan lama," katanya.

"Ini adalah taufan paling besar yang pernah saya alami sepanjang hidup. Saya sudah bercakap dengan ibu dan anak-anak lain yang berada di Malaysia supaya mendoakan keselamatan kami di sini," katanya.

Shahrul memberitahu Bernama ketika dihubungi bahawa tempat tinggalnya hanya 24km dari pantai dan masih menunggu arahan gabenor Delaware sekiranya perlu berpindah.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang tinggal di Long Island City, New York, iaitu antara kawasan yang berada di dalam zon yang dijangka terjejas teruk, berkata beliau dan rakan serumah tidak mahu meninggalkan rumah  mereka walaupun sudah menerima arahan berbuat demikian.

Seorang lagi pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Steven Institute of Technology, New Jersey yang juga Presiden Persatuan Malaysia Steven, Muhammad Izwan Abdul Malik berkata Jabatan Penuntut  Malaysia, Washington DC sudahpun menghantar e-mel kepada semua pelajar Malaysia.

Katanya, jabatan itu antara lain meminta mereka sentiasa memaklumkan kepada jabatan itu situasi dan keadaan mereka dan memberitahu sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

Pejabat Konsul Malaysia di New York juga menghantar pesanan ringkas yang serupa kepada rakyat Malaysia yang berada di bandar raya itu dan memaklumkan bahawa pejabat itu akan ditutup pada hari Isnin. - Bernama

No comments:

Post a Comment