Tuesday, October 30, 2012

Doktor sasaran cinta pesakit



London: Kemunculan laman web sosial seperti Facebook selain emel dan mesej teks menjadikan doktor sebagai sasaran gangguan pesakit yang jatuh cinta dengan mereka.

Kesatuan Pertahanan Perubatan (MDU) berkata, bilangan pesakit yang memujuk rayu doktor meningkat satu pertiga kerana teknologi komunikasi memudahkan perhubungan.
Walaupun banyak godaan berjaya ditepis, kes paling buruk menyaksikan polis terpaksa dipanggil dan injuksi dikeluarkan untuk mengelak doktor diganggu atau diintip.

Malah, sebahagian doktor dituduh secara salah oleh pesakit yang mahu mengadakan hubungan dengan mereka, menjadikan mereka berisiko diserang.

Jurucakap MDU, Dr Claire Macaulay, yang menyediakan nasihat undang-undang dan insurans kepada doktor, memberitahu akhbar Daily Mail: Aliran pesakit cuba menggoda doktor bukan perkara baru. Namun dulu pesakit cenderung menulis untuk tujuan itu tetapi kini mereka menggunakan cara digital.

Anggota kami melaporkan mereka menerima banyak mesej menerusi telefon bimbit atau emel, Twitter atau Facebook, dan dalam sesetengah cara, lebih mengganggu daripada menerima lambakan surat.

Seorang pesakit wanita menghantar surat, hadiah dan permohonan rakan Facebook kepada doktornya. Beliau diberitahu caranya itu tidak sesuai dan dirujuk kepada doktor lain.
Bagaimanapun, beliau memberitahu Amalan Perubatan Umum beliau melakukan hubungan seks dengan doktor berkenaan. Doktor terbabit dibebaskan daripada sebarang salah laku selepas enam bulan disiasat.

Antara tahun 2002 dan 2006, MDU menerima 73 permintaan untuk membantu doktor menangani godaan, perangkaan yang meningkat kepada 100 untuk tempoh 2007 hingga 2011.

Daripada 100 kes, 72 membabitkan doktor biasa, manakala yang lain membabitkan pakar psikiatri dan pakar sakit puan. Hampir tiga perempat doktor yang digoda adalah lelaki.

Agensi

No comments:

Post a Comment