Friday, December 7, 2012

Rusuhan ganas di Mesir, lima terbunuh

Rusuhan ganas di Mesir, lima terbunuh:

KAHERAH 6 Dis. - Lima penunjuk perasaan maut dan 350 lagi cedera apabila penyokong dan penentang Presiden Mesir, Mohammed Mursi bertempur di luar perkarangan Istana Presiden di sini, semalam, keganasan terburuk sejak Mursi memimpin negara ini pada Jun lalu.
Insiden berlaku apabila kedua-dua kumpulan itu mula membaling bom api dan batu antara satu sama lain selepas ketegangan yang berlaku ekoran bantahan terhadap tindakan Presiden mengukuhkan kuasanya dan cadangan draf Perlembagaan, bertukar menjadi ganas, lapor agensi berita MENA.
Penunjuk perasaan yang berlumuran darah dilihat dibawa keluar dari tempat kejadian ketika bunyi tembakan kedengaran dan kumpulan pro-Mursi pula bertindak membakar kereta serta mercun berhampiran Istana Presiden, tempat penentang Mursi mendirikan khemah sebelum diusir keluar oleh penyokong Presiden.
Polis anti rusuhan kemudiannya dihantar ke tempat kejadian untuk meleraikan keganasan tetapi pertempuran terus berlaku di jalan raya berhampiran Istana Presiden dan kawasan perumahan Heliopolis.
Awal hari ini, bunyi tembakan masih kedengaran dan keganasan terus berlaku, tetapi dalam jumlah yang kecil, menurut seorang koresponden AFP.
Ramai kumpulan penentang telah meninggalkan kawasan itu, tetapi masih terdapat beratus-ratus lagi penunjuk perasaan di luar perkarangan Istana Presiden.
Keganasan turut merebak di luar Kaherah dengan penunjuk perasaan bertindak membakar pejabat Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiya dan Suez, menurut aksi.
Sementara itu, tentera Mesir, hari ini menempatkan sekurang-kurangnya tiga kereta kebal dan kereta perisai di Istana Presiden ekoran insiden itu.
Kereta kebal dan perisai itu ditempatkan di luar pintu masuk Istana ketika beratus-ratus penyokong Mursi memekik slogan menyokong Presiden. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121207/lu_02/Rusuhan-ganas-di-Mesir-lima-terbunuh#ixzz2ENKXLn6T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment