WASHINGTON 6 Dis. - Tentera Syria dilaporkan sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan menggunakan bom kimia ke atas pemberontak di negara itu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali memberitahu NBC News, tentera negara itu telah meletakkan dua campuran bahan kimia ke dalam bom, dipercayai untuk melancarkan serangan gas sarin yang boleh membawa maut.
Sarin merupakan agen kimia yang boleh membunuh berpuluh-puluh ribu orang hanya dalam tempoh beberapa minit ia dilepaskan di kawasan yang padat dengan penduduk.
NBC News melaporkan, pihak tentera masih lagi menunggu arahan akhir daripada Presiden Bashar al-Assad untuk menggunakan senjata itu.
Jika disahkan, tindakan itu akan menjadi langkah terbaharu penggunaan senjata kimia dalam krisis di Syria.
Menurut pegawai tersebut, bom yang diletakkan dengan bahan kimia itu kemungkinan besar akan digunakan untuk membedil rakyat Syria dengan menggunakan berpuluh-puluh jet pejuang.
Pegawai itu berkata, bom tersebut bagaimanapun masih belum dipasang pada pesawat dan Assad juga belum mengeluarkan arahan untuk menggunakannya.
Bagaimanapun, jika rancangan itu diteruskan, 'hanya sedikit yang boleh dilakukan dunia untuk menghalangnya', menurut seorang lagi pegawai AS.
Sementara itu, CNN melaporkan, perkhidmatan perisikan Israel, Jordan, Lebanon dan Turki kini berhubung rapat dengan rakan sejawat mereka dari AS untuk memutuskan langkah seterusnya yang perlu diambil.
Kerajaan Syria yang bergelut mempertahankan ibu negara Damsyik daripada jatuh ke tangan pemberontak, sebelum ini bertegas tidak akan menggunakan senjata kimia.
Namun pegawai AS pada Selasa lalu memberitahu AFP, Syria telah mula mencampurkan bahan kimia yang boleh digunakan untuk membuat serangan gas sarin, manakala CNN melaporkan Damsyik mungkin menggunakan bom itu secara terhad dalam serangan meriam untuk mengatasi pemberontak. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121207/lu_01/Syria-sedia-guna-bom-kimia#ixzz2ENKMYgzT
© Utusan Melayu (M) Bhd
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment