Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
TEL AVIV - Parti Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendapat undi terbanyak setakat semalam dalam pilihan raya kebangsaan Israel tetapi menunjukkan kemenangan diraih tipis berbanding dengan kerusi yang dimenanginya penggal lalu.

Netanyahu turut berikrar untuk meluaskan kerajaan sekiranya perikatan beliau memenangi pilihan raya kali ini.

“Saya percaya keputusan pilihan raya ini memberi peluang kepada saya membuat perubahan kepada rakyat Israel dan saya sedia berkhidmat untuk negara Israel.

“Saya juga bercadang membuat perubahan-perubahan lain dan mahu meluaskan kerajaan sebaik mungkin jika saya sekali lagi dipilih menjadi perdana menteri selepas ini,” ujar Netanyahu.

Sayap kanan Likud-Beitenu meraih 31 kerusi parlimen iaitu penurunan mendadak daripada 42 kerusi sebelum ini.

Penurunan ini merupakan satu kejutan berikutan parti lawan, Yesh Atid menduduki tempat kedua dengan meraih sebanyak 18 kerusi.

Yesh Atid merupakan sebuah pergerakan baru yang ditubuhkan bagi membantu golongan kelas pertengahan.

Penganalisis pula meramalkan minggu pilihan raya merupakan minggu kritikal bagi membentuk Kabinet baru.

Ada juga yang menjangkakan kemungkinan kemenangan pilihan raya kali ini berpihak kepada pembangkang.

Sebanyak 32 parti bersaing di bawah sistem perwakilan bagi merebut 120 kerusi.

Keputusan pilihan raya penuh bakal diketahu secara rasmi Rabu depan.