Tuesday, February 12, 2013

Adakah polis terlibat cetus insiden Felda Sungai Tengi?


Muhammad Faizal,12 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman akan mengemukakan nota bantahan kepada Ketua Polis Selangor (IGP) dalam masa seminggu berhubung insiden yang berlaku di Felda Sungai Tengi.

Beliau yang berkata pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS (gambar atas), nota bantahan tersebut adalah untuk mendapat kepastian sama ada pihak polis juga turut terlibat dalam insiden tersebut seperti mana perbualan pengurus Felda bersama beberapa pertubuhan NGO di dalam rakam video.

"Nota bantahan ini akan kita serahkan kepada IGP dan berharap beliau dapat berkomunikasi dengan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor berhubung insiden yang berlaku di Felda Sungai Tengi.

"Dalam nota bantahan tersebut, kita turut meminta penjelasan dari pihak polis adakah benar kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus Felda yang mengatakan segala perancangan kekacauan itu telah diketahui oleh pihak polis," jelas beliau.

Tambahnya lagi, pihak polis perlu menjelaskan perkara tersebut dan jika tiada penglibatan, maka pengurus Felda tersebut telah melakukan kesalahan besar apabila menggunakan nama polis untuk tindakan provokasi mereka.

"Kita desak tindakan tegas diambil jika benar pihak polis tidak terlibat langsung dan tidak ada rundingan dilakukan antara pengurus Felda dengan pihak berkuasa," sambungnya lagi.

Mazlan yang sebelum itu memberitahu, beliau kesal dengan tindakan pihak polis yang membiarkan sekumpulan pemuda yang telah melakukan huru hara pada program yang diadakan di Felda tersebut.

Malah menurutnya lagi, pihaknya akan memastikan segalanya akan terkawal walaupun terdapat provokasi yang melampau batas dilakukan oleh pihak tertentu tetapi tiada jaminam diberikan bahawa situasi ini akan terus terkawal.

"Ketika pertemuan saya dengan pihak polis di Bukit Aman, saya berjanji akan memastikan anggota kita akan mengawal suasana sebaik mungkin walaupun terdapat provokosi yang melampau.

"Namun dalam pada itu, saya turut memberitahu sampai bila jaminan ini akan terkawal dan pasti huru hara akan berlaku, atas sebab itulah saya mohon pihak polis menjalankan tugas mereka dengan adil dan jangan jadi kuda tunggangan pihak lain," tegas beliau.

Sebelum itu, program Jamuan Rakyat dan Penerangan di Felda Sungai Tengi  telah  mencetuskan kekecohan apabila tindakan provokasi sekumpulan orang 'berbaju hitam' yang membaling kerusi dan botol air ke arah hadirin pada program tersebut.

Situasi kecoh itu berlarutan lebih kurang 30 minit dan pihak penganjur terpaksa menghentikan program itu lebih awal bagi mengelak keadaan tidak diingini.

Tiga laporan polis telah dibuat termasuk daripada Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor, Muhamad Idris Ahmad dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor, Mohd Nizam Mat Rahim.

No comments:

Post a Comment