Tuesday, February 12, 2013

Seniman veteran Omar Suwita meninggal dunia



Kuala Lumpur: Seniman veteran yang sinonim dengan watak ‘jahat’, Omar Suwita, 89, meninggal dunia kerana sakit tua di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura, petang semalam.

Allahyarham yang berasal dari Melaka, meninggalkan seorang balu serta tujuh anak, dua lelaki dan lima perempuan berusia 40 hingga 56 tahun.
Anak keempat Allahyarham, Mutiara, berkata arwah pernah diserang angin ahmar menyebabkan sebahagian badannya lumpuh, selain menderitai penyakit kencing manis.

“Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jurong sebelum waktu Zuhur, esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi BH, malam tadi.

Sepanjang berkecimpung sebagai anak seni, Allahyarham sering ditawarkan watak jahat dan dua filem awal lakonannya bertajuk Ribut dan Hati Iblis.

Antara filem lain Allahyarham termasuklah Hang Tuah, Sarjan Hassan, Penarik Becha, Semerah Padi, Mogok, Anakku Sazali, Pendekar Bujang Lapok, Gerak Kilat dan Raja Bersiong.

No comments:

Post a Comment