RABU lalu, negara digemparkan dengan penemuan bangkai 10 ekor gajah pigmy atau gajah kerdil Borneo yang mati dalam keadaan menyayat hati di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, kira-kira 130 kilometer dari Tawau, Sabah.
Ketika ditemui awal bulan lalu, kesemua bangkai didapati mengalami kerosakan organ dalaman sementara usus, mulut dan dubur berdarah, kemungkinan besar disebabkan keracunan.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu memberitahu, kesemua bangkai haiwan yang dilindungi itu dipercayai daripada satu keluarga dan dijumpai mati di tiga lokasi tidak jauh antara satu sama lain dalam hutan simpan tersebut sejak 29 Disember lalu hingga 24 Januari lepas.
Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa menemui empat lagi bangkai gajah pigmy dalam keadaan sama di lokasi berbeza, menjadikan jumlah bangkai yang ditemui meningkat kepada 14 ekor.
Misteri kematian kawanan gajah pigmy itu dikaitkan dengan kekejaman manusia.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan akibat tembakan.
“Siasatan terhadap penggunaan racun tikus juga terpaksa dijalankan memandangkan keadaan kesemua bangkai yang ditemui sama dengan bangkai tujuh ekor gajah pigmy yang mati akibat memakan racun tikus di Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu 10 kira-kira tahun lalu,” tambahnya.
Sementara itu, pegawai veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr. Sen Nathan yang ditemui berkata, penemuan 14 bangkai tersebut cukup menyedihkan terutamanya apabila petugas jabatan berkenaan terpaksa memujuk dan menangkap seekor anak gajah berusia tiga bulan yang masih hidup.
“Ketika ditemui anak gajah itu seolah-olah sedang menangis sambil menggerakkan tubuh ibunya yang telah mati.
“Anak gajah yang diberi nama Baby Joe seberat 120 kilogram itu kini ditempatkan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan diberi minum susu formula yang ditambah serat serta antibiotik.
“Anak gajah biasanya minum susu antara 20 hingga 30 liter sehari tetapi Baby Joe ketika ini hanya minum separuh daripada jumlah itu,” katanya.
Gajah pigmy merupakan spesies gajah terkecil dunia yang hanya boleh ditemui di negeri Sabah dan beberapa kawasan lain di Borneo.
Bagaimanapun, populasi haiwan unik ini semakin mengecil dengan hanya 1,500 ekor sahaja dipercayai masih hidup di kepulauan Borneo termasuk kira-kira 400 ekor hidup bebas di Hutan Simpan Gunung Rara.
Takut panas
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Colombia di New York, Amerika Syarikat mendapati terdapat persamaan genetik antara gajah pigmy dengan kelompok asal gajah yang berasal dari tanah besar Asia dan Sumatera.
Terdapat juga mitos menyatakan bahawa gajah pigmy lahir daripada sisa kawanan gajah yang diberikan sebagai hadiah daripada Syarikat India Timur kepada Sultan Sulu pada kurun ke-17.
Ia juga disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) pada 1986 berikutan bilangannya semakin menyusut sehingga 50 peratus dalam tempoh 65 tahun.
Bagaimanapun, gajah pigmy hanya diisytihar sebagai haiwan yang wajar dilindungi selepas analisis asid deokribonukleik (DNA) yang dilakukan oleh Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) dan Universiti Columbia di Amerika Syarikat pada tahun 2003 mendapati gajah pigmy merupakan subspesies yang semakin pupus secara genetiknya.
Menerusi kajian tersebut, dapat diketahui bahawa gajah pigmy dewasa boleh mencapai ketinggian sehingga 2.4 meter ketika berdiri, iaitu 30 hingga 60 sentimeter lebih pendek berbanding gajah Asia yang tinggal di tanah besar.
Dengan jangka hayat mampu menjangkau sehingga 70 tahun, berat berat gajah pigmy dewasa boleh mencecah sehingga 5 tan.
Bentuk mukanya kelihatan lebih bulat, kecil dan muda manakala, karakternya pula tidak agresif dan lebih mudah dilatih.
Memilih hidup secara berkumpulan antara 10 hingga 20 ekor, gajah pigmy memerlukan kawasan jelajah yang luas namun kumpulan ini tidak akan pergi jauh daripada tebing Sungai Kinabatangan kerana ia cukup sensitif kepada cuaca panas.
Koordinator program WWF, A. Christy Williams di laman web badan tersebut berkata, gajah pigmy gemar memakan buah kelapa sawit.
“Menanam pokok kelapa sawit di sebelah kawasan hutan sama seperti menunjukkan gula-gula kepada kanak-kanak,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm#ixzz2Ke5PffZU
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment