Thursday, February 28, 2013

Filem cetus perdebatan



 
Jakarta: Sebuah filem dokumentari mengisahkan pembunuhan ke atas sejuta rakyat Indonesia yang dipenjarakan, disiksa dan dibunuh kerana disyaki menjadi penyokong komunis pada 1965, mencetuskan perdebatan.

Filem berjudul The Act of Killing yang diarahkan pengarah kelahiran Texas Joshua Oppenheimer itu cuba menyingkap ‘era gelap’ Indonesia dengan memberi tumpuan kepada skuad pembunuh yang kurang diketahui generasi muda negara itu.
“Tokoh utama filem ini, Anwar Congo, salah seorang ketua skuad pembunuh paling ditakuti di Sumatera Utara dengan bangga bercerita mengenai peranannya dan cara pembunuhan dilakukan ke atas mereka yang disyaki menyokong komunis selepas cubaan rampasan kuasa gagal,” katanya.

Beliau berkata skuad pembunuh beroperasi secara sistematik pada 1960-an dan menjadi penyebab kepada kematian sejuta penduduk negara itu yang disyaki menjadi penyokong komunis.

Filem berkenaan ditayang di Festival Filem Toronto pada Oktober 2012 berjaya meraih Anugerah Panorama Penonton dan Anugerah Juri pada Festival Filem Antarabangsa Berlin, baru-baru ini.

Ia belum ditayangkan secara rasmi di Indonesia, tetapi 265 ‘tayangan rahsia’ sudah dilakukan dan disaksikan 10,000 penonton di republik itu.

Sementara itu, salah seorang mangsa gerakan memburu penduduk disyaki komunis pada 1965, Bejo Untung berkata, beliau berusia 17 tahun ketika tentera menyerbu kampungnya, menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri.
Beliau akhirnya ditangkap, disiksa dan dipenjarakan pada 1970 sebelum dibebaskan pada 1979.

“Saya mahukan keadilan dan sejarah Indonesia perlu ditulis semula,” katanya.

REUTERS

No comments:

Post a Comment