Monday, February 4, 2013

Israel guna bom tangan



Askar Israel mengacukan senjata api kepada dua orang penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan membantah projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, kelmarin. - AFP
BURIN, Tebing Barat 3 Feb. - Askar Israel didakwa menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan bagi menyuraikan kira-kira 150 penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan kali ketiga bagi membantah rancangan Israel mahu membina penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Menurut saksi, penduduk Palestin dilaporkan cedera ringan ketika askar Israel meruntuhkan lebih sepuluh buah khemah dan pondok kecil yang dibina penduduk Palestin di wilayah Palestin yang diduduki Israel di utara Tebing Barat termasuk di perkampungan Burin.
Kejadian ini merupakan yang ketiga dalam beberapa minggu lalu, dalam usaha penduduk Palestin menggagalkan rancangan Israel untuk memperluaskan kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Kedua-dua tunjuk perasaan sebelum ini turut dipatahkan oleh askar Israel dan khemah-khemah yang mereka bina dirobihkan.
Israel, baru-baru ini mengumumkan akan merampas lebih 50 hektar tanah penduduk kampung berkenaan yang terletak di barat laut bandar Baitulmaqdis bagi membina kawasan penempatan haram baharu Yahudi yang akan diberi nama Bab al-Ka rama atau 'Pintu Maruah'.
Jurucakap tentera Israel berkata, askar Israel menggunakan senjata bukan pemusnah bagi menyuraikan tunjuk perasaan selepas mendakwa penduduk Palestin membaling batu ke arah mereka.
Israel turut mendakwa tentera mereka mengalami cedera ringan akibat dibaling batu oleh penduduk Palestin.
Penunjuk perasaan Palestin berkata, mereka berasa lega dengan laporan oleh penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mendesak Israel menghentikan projek penempatan haram Yahudi itu dan menghalau penduduk yang telah bermastautin di kawasan tersebut, kerana keadaan itu boleh mencetuskan perang.
Kementerian Luar Israel, bagaimanapun, menolak laporan itu dengan mendakwa ia 'tidak produktif dan malang'. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130204/lu_01/Israel-guna-bom-tangan#ixzz2JwH2yMEn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment