KAHERAH - Seorang lelaki Mesir mendakwa dia diheret dalam keadaan telanjang bulat oleh pihak polis sepanjang jalan di sini ketika satu demonstrasi hujung minggu lalu.
 
Hamada Saber dibelasah oleh pegawai yang memakai uniform dan video kejadian itu telah disiarkan melalui stesen TV tempatan, Jumaat lalu. 

Difahamkan pada mulanya Hamada memberitahu pakaiannya dilucutkan oleh penunjuk perasaan sebelum pihak polis datang menyelamatkannya. 

Mangsa kemudian menyalahkan polis atas insiden yang memalukan itu. 
 
Hamada mendakwa polis melakukan perkara itu kerana menuduhnya membawa bom petrol semasa melakukan demonstrasi.
 
Polis katanya telah memohon maaf kerana melakukan perbuatan yang memalukan itu. 
 
Presiden Mohammed Morsi turut mengutuk kejadian itu dan mengarahkan supaya siasatan dijalankan.
 
Pertempuran Jumaat lalu menyaksikan pihak polis menggunakan gas pemedih mata dan bom air bagi  menyuraikan keadaan selepas keganasan berpanjangan dan menyebabkan berpuluh-puluh rakyat Mesir maut.
 
Kejadian itu menyebabkan seorang maut dan 50 yang lain cedera.
 
Dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook, Mohammed memberi amaran yang pasukan keselamatan akan bertindak dengan tegas bagi melindungi institusi negara itu dari kumpulan-kumpulan pengganas.
 
Pergolakan bermula pada 24 Januari lalu di Kaherah pada malam ulang tahun kedua revolusi dan mula merebak ke beberapa bandar lain.